PKPD 2 lokaliti di Pahang, Sabah, kata MKN


PKPD di Pontian yang sepatutnya berakhir esok disambung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2021.

SATU lokaliti masing-masing di Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Selasa hingga 27 September, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Rodzi Md Saad.

Beliau berkata, lokaliti di Pahang adalah Rancangan Rumah Murah (RRM) Kampung Kolek di Sungai Lembing, Kuantan manakala di Sabah membabitkan Perumahan IOI Plantations Unico Oil Mill Sdn Bhd di Segama, Lahad Datu.

“Prosedur operasi standard bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Rodzi berkata PKPD di Kampung Nelayan Benut, Mukim Sungai Pinggan di Pontian, Johor yang sepatutnya ditamatkan esok dilanjutkan hingga 20 September.

Sementara itu, tiga lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah ditamatkan esok mengikut jadual ditetapkan iaitu Taman Megah Jaya dan Kampung Bukit Gemuk di Tawau serta Kampung Nasakot di Ranau. – Bernama, 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen