KANAK-KANAK di Bangladesh kembali membanjiri kelas pada Ahad apabila sekolah dibuka semula selepas 18 bulan, satu daripada penutupan paling lama di dunia disebabkan penularan Covid-19.
Pembukaan semula itu dilakukan selepas Unicef memberi amaran penutupan sekolah yang terlalu lama ketika krisis Covid-19 akan menjejaskan tahap pendidikan berjuta-juta kanak-kanak di Asia Selatan.
Di Dhaka, ibu negara Bangladesh, pelajar di sebuah sekolah disambut dengan bunga dan gula-gula dan diberitahu supaya memakai pelitup muka dan menggunakan sanitasi. Sesetengah berpelukan sesama sendiri kerana seronok dapat kembali ke sekolah.
“Kami amat teruja untuk kembali ke sekolah,” kata pelajar berusia 15 tahun Muntasir Ahmed ketika dia memasuki kampus.
“Saya amat berharap untuk berjumpa secara fizikal dengan rakan dan guru, bukannya menerusi tetingkap komputer riba hari ini.”
Di pintu masuk, pegawai sekolah memeriksa suhu badan pelajar sebelum membenarkan mereka masuk.
Penolong pengetua sekolah itu, Dewan Tamziduzzaman, berkata beliau “tidak menjangkakan jumlah yang besar hadir ke sekolah pada hari pertama.”
Hanya 41% daripada 169 juta penduduk Bangladesh mempunyai telefon pintar, menurut persatuan pengusaha telekom negara itu, bermakna berjuta-juta kanak-kanak tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian.
Sekalipun mempunyai telefon pintar, pelajar di kebanyakan kawasan mundur di Bangladesh tidak mempunyai akses Internet kelajuan tinggi yang biasanya diperlukan untuk e-pembelajaran. – AFP, 12 September, 2021.
Komen