TIADA kompromi kepada pegawai dan anggota polis yang menerima rasuah atau membocorkan mengenai operasi dijalankan pihak berkuasa, tegas Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi.
Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengesan salah laku agar imej dan integriti anggota di bawah kementerian itu tidak tercalar.
“Saya ingin menyebutkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) sentiasa konsisten di dalam menangani isu ‘harapkan pegar, pegar makan padi’.
“Apabila ‘pegar’ ini memberikan maklumat (operasi), bersekongkol malah memperoleh pendapatan luar biasa daripada sindiket di luar. Kami menghidu semua maklumat diperoleh daripada pihak dalaman,” kata Zahid pada sidang media pada majlis Universiti Bersama TPM Sehati Negaraku Malaysia di Shah Alam.
Menurutnya, semua maklumat diperoleh daripada pasukan elit yang dipercayai merujuk kepada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang bertanggungjawab menyiasat kegiatan salah laku pegawai.
Kata Zahid juga, tiada ada alasan akan diterima bagi perbuatan salah laku terutama melibatkan kes rasuah.
“Di Melaka berlaku perkara yang sama. Petang semalam saya bertemu ketua polis Melaka dan memberikan sokongan untuk melihat semua terlibat ditangkap. Jangan pernah melindungi walaupun ada yang mengatakan kononnya dianiaya, dipergunakan dan dipaksa (menerima rasuah). Tiada alasan.”
Ia susulan kes 17 Mei lalu melibatkan penahanan reman dua ketua polis daerah di Melaka dan inspektor selama enam hari kerana rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebanyak RM645,000 ditemui di rumah dan akaun bank milik dua pegawai berkenaan dan tujuh individu lain yang ditahan kerana rasuah menerusi satu operasi yang dijalankan SPRM.
Daripada jumlah itu RM79,000 wang tunai ditemui di rumah ketua polis daerah Melaka Tengah.
Zahid sebelumnya pada majlis hari ini, menjawab pertanyaan moderator yang memintanya mengulas isu bekas pelajar UiTM yang enggan membalas jasa universiti itu.
Naib presiden Umno itu berkata bekas pelajar tidak seharusnya melupakan jasa UiTM yang dibangunkan kerajaan.
“Saya ada terbaca mengenai (pelajar) dipaksa dikerahkan kepada satu perhimpunan. Kacang-kacang ini melupakan kulitnya.
“Kita berada di sini kerana usaha pengasas kita,” katanya dalam majlis berkenaan tanpa menamakan perhimpunan tersebut.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan pelajar UiTM dipaksa menghadiri perhimpunan sambutan ulang tahun Umno ke-71 yang di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei lalu.
Difahamkan mereka pelajar kokurikulum tahun satu hingga tiga termasuk badan beruniform tahun satu. – 19 Mei, 2017.
Komen