Jumlah 592 bukan angka kematian sebenar Covid-19 semalam, kata KKM


Jumlah kematian akibat Covid-19 di negara ini direkodkan sebanyak 529 kes semalam dengan 88 daripadanya kes BID. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2021.

SEBANYAK 592 kematian baharu semalam merupakan jumlah kes yang dilaporkan dan bukan kes kematian sebenar yang berpunca daripada Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan.

Angka itu mengejutkan kerana menunjukkan peningkatan mendadak memandangkan angka kematian harian teringgi direkodkan pada 26 Ogos membabitkan 393 kes.

Data di laman Covid Now itu dijelaskan dengan nota bahawa angka dilaporkan itu meliputi kes yang memerlukan tempoh mengenal pasti punca kematian.

“Oleh itu, trend perlu diperhatikan ke atas siri tersebut berdasarkan tarikh kematian (kematian sebenar).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Isnin lalu berkata jumlah kematian harian tinggi disebabkan kelewatan dan tunggakan melaporkan kes kematian.

“Tunggakan kes kematian berlaku kerana kami perlu mengesahkan sama ada si mati meninggal dunia kerana Covid-19 atau tidak.

“Jumlah kematian ini bukan berlaku dalam tempoh 24 jam,” katanya di Kota Kinabalu.

Data di laman seterusnya menyatakan angka kematian sebenar 125 kes untuk tarikh 11 September.

Bagi jumlah kematian 592 kes itu, ia seterusnya menyatakan pecahan tertinggi di Selangor dengan 360 kematian, termasuk dua yang maut sebelum tiba di hospital.

Jumlah kedua paling tinggi, 53 di Sabah dengan 20 BID, Kedah dengan 49 kematian (33 BID), Perak 28 (4), Penang 27 (8), Negri Sembilan 14 (4), Kelantan 11 (3), dan Johor 10 (7).

Selanjutnya, Sarawak dengan 10 kematian (3 BID), Melaka 9 (1), Kuala Lumpur 8 (1), Pahang 6 (1),  Terengganu 6 (1), dan Perlis 1.

Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya tidak merekodkan sebarang kematian.

Kes baharu masih melebihi 20,000 sejak beberapa bulan terakhir ini walaupun kadar imunisasi yang tinggi. – 12 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen