PARLIMEN sepatutnya mempertimbangkan tiga timbalan speaker dengan jawatan ketiga disandang pembangkang, kata Ahmad Maslan hari ini.
Beliau juga berkata salah seorang daripada tiga timbalan speaker itu harus menjadi wakil dari negeri Borneo.
“Wujud jawatan timbalan speaker yang lain menjadikan tiga orang, di mana jawatan ketiga disediakan untuk wakil pembangkang.
“Sementara itu, salah seseorang daripadanya mestilah berasal dari Sabah atau Sarawak,” kata Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.
Setiausaha Agung Umno itu dicalonkan kerajaan baru sebagai timbalan speaker di Dewan Rakyat.
Pencalonan dibuat setelah jawatan berkenaan kosong berikutan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said pada 23 Ogos lalu.
Pencalonan Ahmad disahkan ahli Umno yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.
Ahmad kini sedang berdepan perbicaraan berkaitan pengubahan wang haram dan memberikan pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung penerimaan sejumlah wang sebanyak RM2 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak pada 2013.
Sementara itu, Ahmad berkata beliau menyokong usaha Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan reformasi Parlimen dan tadbir urus.
Semalam, Ismail mengemukakan tujuh tawaran transformasi Parlimen dan reformasi tadbir urus, termasuk menghadkan tempoh penjawatan perdana menteri kepada 10 tahun dan mengemukakan rang undang-undang anti lompat parti.
Ismail juga menawarkan status jawatan bertaraf menteri kepada ketua pembangkang.
Selain itu, Ahmad mencadangkan peruntukan bulanan sebanyak RM5,000 iaitu berjumlah RM60,000 setahun diberikan kepada ahli parlimen pembangkang dan bebas bagi menguruskan pusat khidmat mereka di kawasan masing-masing.
“Peruntukan itu dianggarkan cukup untuk elaun dua kakitangan dan sewa pejabat,” katanya. – 11 September, 2021.
Komen