BERSATU berikrar kuatkan parti untuk menangi Pilihan Raya Umum akan datang dan membuat kemunculan semula memimpin kerajaan sekali lagi, kata Muhyiddin Yassin.
Presiden parti itu mengingatkan ahlinya Bersatu tidak boleh bersendirian tetapi perlukan kerjasama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dan parti lain.
“Pada masa itu, PN dan saya sebagai pengerusinya akan ambil bahagian dalam pilihan raya.
“InsyaAllah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback!
“Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen Perikatan Nasional dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan,” kata bekas perdana menteri dalam ucapan sempena ulang tahun kelima Bersatu malam ini.
Muhyiddin letak jawatan pada 16 Ogos setelah hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Bersatu telah memimpin kerajaan sejak kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad, ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH) yang kemudiannya tumbang tahun lalu disebabkan Langkah Sheraton.
Sepanjang tempoh kerajaan PN, Muhyiddin mendapat sokongan tidak lunak oleh Umno.
Pada Julai, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Para ahli Parlimen Umno menarik sokongan ke atas Muhyiddin kononnya disebabkan kegagalannya menangani pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.
Bulan lepas, Ismail Sabri Yaakob, 61, dilantik sebagai perdana menteri selepas Yang di-Pertuan Agong perkenan bersetuju dengan jumlah sokongan di Dewan Rakyat terhadapnya.
Selepas membentuk kerajaan baharu ditunjangi Umno, Ismail seterusnya melantik Muhyiddin mengetuai Majlis Pemulihan Negara semula sebagai pengerusi.
Muhyiddin berkata Bersatu perlu bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya akan datang untuk jadi parti pilihan rakyat.
Selain memperkuat sokongan akar umbi, Muhyiddin berkata Bersatu perlu bekerjasama dengan pihak komponen PN dan mengukuhkan kerjasama dengan mereka.
“Sebagai ahli parti, mestilah melakukan segala persiapan. Tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi. Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan iri hati.
“Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat.
“Perkukuhkan kerjasama kita dengan parti-parti komponen Perikatan Nasional di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan,” katanya.
Muhyiddin berkata penting supaya Bersatu dan PN menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri supaya golongan kleptokrat tidak berkuasa.
Beliau mendakwa PH akan kembali berkuasa dengan bantuan pemimpin-pemimpin kleptokrat tertentu.
Bagaimanapun, beliau tidak menyebut siapa yang dimaksudkan.
“Apa jadi kalau saya dan semua ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan perdana menteri yang baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu?
“Pakatan Harapan dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang.
“Kerana itu saya telah berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan pimpinan parti-parti dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang baharu.
“Dengan itu, Bersatu dan parti-parti komponen PN akan terus berada dalam kerajaan untuk meneruskan usaha-usaha memulihkan negara sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu,” katanya. – 10 September, 2021.
Komen