103 kes varian baharu Covid-19 dikesan, kata Dr Noor Hisham


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 103 kes melibatkan varian baharu telah dikesan hari ini yang mana hampir separuh daripadanya adalah varian membimbangkan jenis Delta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan telah mengenal pasti 103 varian baharu Covid-19, hampir separuh melibatkan varian Delta yang membimbangkan, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) telah mengenal pasti sebanyak 44 kes varian baharu Covid-19, sementara Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) mengesan 59 kes yang kesemuanya adalah varian yang membimbangkan (VOC) jenis Delta (B.1.617.2).

Ini menjadikan jumlah kes terkumpul jangkitan VOC Covid-19 dan varian diwaspadai (VOI) kepada 1,324 kes, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu 1,304 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Sebanyak 24 kes varian Delta (B.1.617.2) dikesan di Johor, diikuti Kedah dengan 24 kes, Melaka (13 kes), Kuantan (10), Perak (7), Terengganu (5), Kuala Lumpur (4) dan Negeri Sembilan (3), katanya.

Setakat hari ini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 1,081 kes VOC Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Manakala bagi kes melibatkan VOI, sebanyak 13 kes adalah varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes berkait varian Eta, katanya. – 10 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen