Pakatan desak harga kit ujian kendiri Covid-19 diturun kepada RM5


PH berkata harga kit ujian kendiri Covid-19 perlu diturunkan kepada lebih murah kerana ia akan menjadi barangan penting. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

KIT ujian kendiri Covid-19 sepatutnya berharga RM5 seunit, kata Pakatan Harapan (PH), kerana ia akan menjadi barangan penting.

Jawatankuasa kos sara hidup PH berkata ia perlu diturunkan dari harga siling semasa RM19.90 kepada RM15 pada akhir bulan ini, kemudian menjadi RM10 pada akhir Oktober, dan RM5 pada akhir November.

Jawatankuasa itu berkata penurunan harga tidak boleh dibiarkan berlaku “pada hujung tahun” seperti dikatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini.

Harga siling runcit bagi alat ujian kendiri baru-baru ini mencecah RM19.90 seunit tetapi jawatankuasa PH berkata ia masih tinggi dan membebankan kumpulan B40.

“Sebenarnya, M40 juga akan berdepan masalah yang serupa.

“Setiap kit ujian kendiri hanya boleh digunakan secara individu dan sekali sahaja, ia tidak boleh digunakan semula. Oleh itu, nilainya akan menjadi tidak berharga dengan serta-merta.

“Permintaan dijangka terus meningkat dan ia akan menjadi barangan penting dalam kehidupan kita di era pasca-Covid,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Putrajaya merancang membawa negara beralih ke fasa endemik pada akhir Oktober apabila 80% penduduk diberi vaksin, dan berkata ujian kendiri akan menjadi sebahagian daripada norma baharu hidup dengan koronavirus. – 10 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen