CHINA akan berusaha untuk membekalkan 2 bilion dos vaksin Covid-19 kepada dunia tahun ini dan menyumbang AS$100 juta (RM415 juta) kepada sistem pengagihan vaksin antarabangsa yang dikenali sebagai Covax, kata Presiden Xi Jinping hari ini.
Janji itu disampaikan dalam mesej bertulis oleh Xi kepada forum video mengenai kerjasama vaksin ketika China memerangi wabak baharu yang dicetuskan oleh varian Delta.
Delta dikesan di beberapa bahagian di China, mendorong ujian besar-besaran dan menyebabkan jumlah kes harian ke tahap tertinggi dalam beberapa bulan.
“Sepanjang tahun ini, China akan berusaha untuk memberikan 2 bilion dos vaksin kepada dunia,” kata Xi dalam kenyataan yang dilaporkan oleh badan penyiar negara CCTV.
China juga berjanji akan menyumbangkan AS$100 juta kepada Covax bagi pengedaran vaksin ke negara-negara membangun.
Pengumuman itu dibuat beberapa minggu selepas Xi menjanjikan bantuan AS$3 bilion kepada negara membangun untuk memerangi Covid-19 pada mesyuarat tergempar ketua negara Apec yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Dana tersebut bertujuan membantu negara membangun pulih daripada kesan sosial dan ekonomi virus.
Minggu lalu, jurucakap kementerian luar China Zhao Lijian berkata China sudah memberi lebih 700 juta dos vaksin kepada negara lain sejak awal tahun ini.
Janji terbaharu itu juga susulan pengumuman Presiden AS Joe Biden yang Amerika Syarikat menyumbang lebih 100 juta dos ke luar negara.
Mulai akhir bulan ini, Washington mula menghantar 500 juta dos Pfizer yang dijanjikannya kepada 100 negara berpendapatan rendah. – AFP, 10 September, 2021.
Komen