PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengecam golongan antivaksin, berkata mereka membantutkan usaha mengekang penularan Covid-19 di negara itu.
“Golongan ini yang disokong oleh segelintir pegawai kerajaan menghalang usaha kita,” kata Biden ketika berucap secara langsung di televisyen semalam.
“Mereka yang tidak divaksin memenuhi hospital, menyebabkan bilik kecemasan dan unit rawatan rapi sesak sehingga tiada ruang bagi pesakit jantung atau kanser.
“Sekitar 80 juta rakyat Amerika menolak vaksin,” tambahnya.
Biden berkata demikian ketika mengumumkan peraturan baharu yang akan mempengaruhi kira-kira 100 juta individu di AS.
Antaranya, mewajibkan syarikatyang mempunyai lebih 100 pekerja memastikan semua kakitangan menerima suntikan vaksin atau menjalani ujian saringan mingguan.
“Ini bukan soal kebebasan, atau pilihan masing-masing, tetapi untuk melindungi diri sendiri dan masyarakat sekeliling, rakan sekerja serta orang yang kita sayang,” tegas Biden.
Presiden itu berkata banyak syarikat gergasi termasuk Fox News yang sering mengkritik pentadbirannya juga senada dengan pendiriannya dalam isu vaksin Covid-19.
“Pokok pangkalnya, kita akan lindungi pekerja yang divaksin daripada yang tidak divaksin. Kerajaan akan berusaha kurangkan jangkitan dengan meningkatkan jumlah pekerja yang tekah divaksin di seluruh negara.”
Republikan menyifatkan langkah itu keterlaluan.
“Sudah macam pemerintahan diktator,” menurut Twitter rasmi House Republicans. – AFP, 10 September, 2021.
Komen