TAHAP keberkesanan vaksin Covid-19 yang surut selepas beberapa sela masa antara sebab kes naik di Sarawak, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan berkata kerajaan masih meneliti keperluan memberikan suntikan penggalak untuk negeri itu.
“Saya sudah minta jawatankuasa teknikal vaksin berkenaan pemilihan vaksin supaya segera beri JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) cadangan tentang suntikan penggalak sebab kita tidak pasti apa yang mendorong penularan di Sarawak,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.
“Satu kemungkinan adalah keberkesanan vaksin yang semakin surut yang kita lihat turut terjadi di negara lain.
“Negara lain sudah mula beri suntikan penggalak kepada warga emas, pekerja kesihatan. Kita masih tidak akan laksanakannya lagi,”tambahnya.
Laporan mengenai suntikan penggalak akan dibentang apabila JKJAV bermesyuarat minggu depan, dan perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan Sarawak untuk atur strategi.
Bermula semalam, Sarawak telah mula menyuntik remaja bagi meningkatkan jangkauan vaksinasi penduduknya, kata Khairy.
“Tentunya dari segi buat ujian, pengesanan dan pengasingan, penting di Sarawak sekarang kerana apa yang berlaku mungkin boleh berlaku di negeri lain dalam masa beberapa bulan akan datang, jika ia kerana kesan vaksin yang berkurang.
“Jadi kita perlu lihat apa langkah segera yang boleh dilakukan untuk menghentikan peningkatan jangkitan di Sarawak, dan gunakannya sebagai kaedah untuk negeri lain yang mungkin berdepan situasi sama,” katanya.
Purata tujuh hari Sarawak adalah sebanyak 3,128 kes dengan kadar kejadian 106.17. Hari ini, ia melaporkan 3,100 kes lagi.
Sarawak telah memvaksinasi sepenuhnya 87.9% populasi dewasa dan merupakan salah satu negeri yang paling awal meningkatkan kadar vaksinasi.
Sarawak kini mendahului Selangor dengan lebih 3,000 jangkitan baharu setiap hari. Sejak penghujung Ogos, negeri kes di negeri itu meningkat atas 2,000 jangkitan setiap hari.
Mengambil contoh Israel, yang mula melihat peningkatan kes setelah beberapa bulan walaupun memiliki kadar vaksinasi yang tinggi, Khairy berkata ini menunjukkan penularan itu mungkin disebabkan oleh varian Delta yang menular, pembukaan kembali ekonomi dan keberkesanan vaksin surut.
Katanya beliau akan ke Sarawak dalam masa terdekat untuk berbincang dengan kerajaan negeri tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi membendung penularan virus tersebut. – 9 September, 2021.
Komen