HANYA 14% daripada 2,417 kes kematian di luar hospital dilaporkan pada Ogos, berada di bawah pengawasan pihak berkuasa kesihatan sementara sebahagian besar 86% lagi tidak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
“Daripada 2,417 kes kematian di luar hospital pada Ogos, hanya 217 atau 14% berada di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan, CAC (pusat Penilaian Covid-19) atau kemudahan kesihatan swasta,” katanya pada sidang media mingguan kementerian, hari ini.
“Manakala 86% tidak menjalani pemerhatian perubatan,” tambahnya.
Justeru katanya, kementerian akan berusaha mengurangkan jumlah kes kematian di luar hospital dengan memastikan lebih banyak kes positif diletakkan di bawah pemerhatian perubatan KKM, pejabat kesihatan daerah, CAC atau doktor setempat.
Beliau berkata kementerian sedang melihat secara terperinci untuk mengetahui punca kes itu berlaku.
“Kami ingin memberi nasihat kepada orang ramai agar memastikan anda menjalani ujian saringan dan selepas mendapat gejala serius, anda akan dirujuk ke CAC atau ke doktor di tempat anda,” katanya. – 9 September, 2021.
Komen