Kadar maut pesakit lengkap divaksin cuma 0.009%, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kematian yang melibatkan individu lengkap divaksin cuma 0.009% dan ini berlaku di seluruh dunia, oleh itu beliau menekankan sekali lagi yang vaksin Covid-19 selamat. – Gambar KKM, 9 September, 2021.

KADAR kematian melibatkan individu yang lengkap divaksin cuma 0.009%, kata Khairy Jamaluddin, sekali lagi menekankan vaksin Covid-19 selamat.

“Vaksin berfungsi. Vaksin selamatkan nyawa. Vaksinasi tak kiralah apa jenis vaksin pun ia akan memberi perlindungan kepada kita tetapi masih berlaku sedikit breakthrough infections (jangkitan terobos),” kata Menteri Kesihatan dalam sidang media mingguannya hari ini.

“Kadar terobos kematian bagi mereka yang divaksin adalah 90 orang dalam satu juta populasi yang lengkap divaksinasi. Mesejnya, memang akan ada kematian terobos dan ini berlaku di seluruh dunia, tetapi lebih baik anda divaksin berbanding tak divaksin,” tambahnya.

Jangkitan terobos merujuk kepada individu yang dijangkiti virus walaupun setelah divaksin bagi mencegah virus berkenaan.

Khairy berkata, 81% daripada mereka yang telah diinokulasi sepenuhnya yang maut akibat Covid-19 mempunyai penyakit lain sementara 80% berusia 60 tahun ke atas.

“Ia juga menyumbang pada jumlah kematian dalam kes-kes tersebut,” tambahnya.

Justeru, Khairy menggesa orang ramai dapatkan vaksinasi dan tidak meragui keberkesanan vaksin.

Setakat semalam, kira-kira 16.49 juta orang atau 70.5% penduduk dewasa di Malaysia telah lengkap divaksin Covid-19.

Jumlah ini bersamaan dengan 50.5% penduduk negara. – 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen