LAMAN web baharu Kementerian Kesihatan (KKM) yang memperincikan data Covid-19 boleh mula diakses pukul 6 petang hari ini, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan berkata ia selari dengan janjinya untuk lebih telus tentang data selepas ambil alih jawatan.
Data Covid-19 boleh dilayari di https://covidnow.gov.my.
Khairy berkata selama ini KKM telah berkongsi data relevan pandemik Covid-19 namun kini diperincikan dan disesuaikan untuk mereka yang fasih tentang sains dan data.
“Mulai hari ini, selari dengan janji saya untuk lebih telus berkongsi data, selain bagi kita bersifat terbuka tentang statistik, KKM akan lancarkan laman web baharu Covid-19 yang boleh diakses bermula pukul 6 petang ini,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.
“Data harian Covid-19 akan dikemas kini selepas tengah malam.”

Tambah Khairy, KKM akan teruskan gaya pelaporan harian sebelum ini untuk seminggu lagi dan akan beralih kepada kemas kini pada tengah malam.
“Kemas kini KP (Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah) secara berkala akan diteruskan untuk beberapa hari lagi sampai kami dapat cara untuk beralih,” katanya.
Perincian kes aktif termasuk yang berada di bawah kuarantin di rumah, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi serta pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan akan menjadi antara beberapa set data baharu yang dipaparkan di laman web tersebut.
Laman web ini juga akan merangkumi masa dan tarikh kematian mangsa Covid-19, antara lain, walaupun identiti mereka tidak akan didedahkan.
Khairy sekali lagi mengulangi kenyataannya sebelum ini yang laporan kematian harian tidak mencerminkan jumlah sebenar maut dalam 24 jam terakhir tetapi adalah jumlah tertunggak. – 9 September, 2021.
Komen