SEBANYAK 4,908 kompaun dikeluarkan terhadap individu dan premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.3 juta sejak Mac 2020 sehingga 4 Sept lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan berkata ketidakpatuhan itu dikesan melalui aktiviti penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dilaksanakan di seluruh negeri dalam tempoh itu.
Menurutnya kesalahan yang direkodkan itu termasuk tidak mengamalkan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, tidak merekod butiran diri serta gagal mendaftar MySejahtera ketika memasuki premis.
“Dalam tempoh sama, 592 kes didaftarkan di mahkamah yang berpunca daripada kegagalan menjelaskan kompaun manakala sebanyak 268 premis diarahkan penutupan sementara bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Ops Pematuhan SOP di premis makanan yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) (Kesihatan Awam), Dr Mohammad Faid Abd Rashid di Seremban, hari ini.
Dalam pada itu, Faid menasihati orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan selain melakukan kawalan kendiri bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 meskipun Negeri Sembilan telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.
“Kes harian ketika ini menunjukkan penurunan kira-kira 200 hingga 300 kes sehari walaupun sebelum ini ia mencatatkan lebih dari 1,000 kes sehari. Oleh itu, pemantauan SOP sangat penting bagi memastikan kes harian tidak lagi meningkat,” katanya.
Jelasnya, JKNS juga proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan dan memantau pematuhan SOP dalam kalangan orang ramai secara berterusan di setiap daerah. – Bernama, 9 September, 2021.
Komen