KIT ujian kendiri Covid-19 tidak sesuai dijual di kedai runcit kerana penggunaan alat itu perlu diterangkan dengan jelas kepada pengguna, kata Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).
Tidak setuju dengan seruan menteri kesihatan supaya kit itu dijual di kedai runcit, Presiden MPS Amhari Buang berkata kit ini merupakan alat perubatan terkawal dan pengguna perlu diajar cara menggunakannya.
Membiarkan alat itu dijual secara terbuka akan membuatkan ramai orang menyalahgunakannya, kata Amhari kepada The Malaysian Insight.
“Kit ujian ini adalah alat perubatan, seseorang perlu diberitahu cara menggunakan alat ini dengan betul selepas beli.
“Ahli farmasi mampu terangkan dengan tepat sebab mereka sudah diajar cara untuk dapat hasil yang tepat.
“Jika anda biarkan kedai runcit jual alat itu, bagaimana juruwang dapat jelaskan kepada anda cara betul guna alat itu. Alat ini bukan mainan,” kata Amhari.
Tambahnya, sebagai alat perubatan, kit ujian kendiri Covid-19 terikat dengan undang-undang seperti Akta Peranti Perubatan 2012.
Pada Sabtu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 akan dilonggarkan supaya pengguna dapat membelinya dari kedai runcit dan bukan hanya di farmasi dan kemudahan penjagaan kesihatan.
“Apabila tersedia di pasaran, penjual yang sah perlu pastikan penjualan kit ujian kendiri yang bertanggungjawab. Sebagi contoh, kit ujian kendiri tidak boleh dijual jika bungkusannya rosak atau telah dibuka kerana ini akan mencemarkan kit dan oleh itu tidak dapat digunakan,” kata Khairy.
Khairy berkata dengan menjadikan kit ujian kendiri tersedia lebih luas adalah antara cara untuk hidup bersama Covid-19, dengan negara sedang memasuki fasa endemik pada akhir Oktober, atau apabila lebih 80% penduduk negara sudah lengkap divaksinasi.

Amhari berkata ada kemungkinan besar seseorang mendapat keputusan salah jika kita ujian kendiri tidak digunakan dengan betul.
“Apa yang akan jadi kalai mereka dapat keputusan yang salah sebab mereka tidak tahu cara guna kit ini. Bukankah ini bertentangan dengan objektif? Ahli politik tidak boleh jadikan pandemik ini sebagai batu loncatan karier politik mereka.
“Anda mahu dilihat sebagai seorang yang faham nasib rakyat, tetapi hakikatnya anda tidak buat perkara yang sepatutnya.”
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga membantah cadangan penjualan kit tersebut di kedai runcit.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Presiden MMA Profesor Dr Subramaniam Muniandy berkata alat itu adalah peranti perubatan yang perlu dikawal selia dengan ketat.
“Jika kit ujian kendiri dijual di kedai runcit, mungkin tidak ada pengurusan baik untuk produk ini. Ia juga menyukarkan lagi pihak berkuasa untuk memantau dan menyelianya.”
Sebagai cara untuk membuatkan kit ini mudah didapatkan, Khairy juga telah memuktamadkan harga runcit kit ujian kendiri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya beri masa seminggu kepada peruncit bermula 5 September bagi mematuhi harga maksimum RM19.90 kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri).
Sebelum ini, harga runcit setiap unit mencecah RM40.
Tinjauan di farmasi di Shah Alam sejak pengumuman mendapati peruncit sudah mematuhi ketetapan harga tersebut.
Seorang pemilik farmasi di Seksyen U13, Shah Alam, berkata mereka mematuhi arahan tersebut setelah diumumkan menteri.
“Sebelum pengumuman, harganya lebih RM30 tetapi sekarang dengan harga siling RM19.90. Kami beritahu pelanggan kami tentang cara guna dan hubungi pegawai kesihatan jika mereka ada gejala virus.
“Saya setuju alat ujian ini hanya boleh dijual oleh ahli farmasi dan bukan di kedai runcit,” kata ahli farmasi Farah Hakim.
Farmasi lain di daerah yang sama menjualnya dengan harga RM16.90.
Pekerja itu berkata harga untuk semua kit ujian di kedai adalah pada harga yang sama.
“Ada jenama berbeza tetapi harganya sama. Pelanggan perlu beli dari farmasi supaya mereka tahu cara guna. Tidak begitu susah tetapi sekurang-kurangnya kita dapat beritahu mereka cara yang tepat,” kata ahli farmasi di kedai ubat. – 9 September, 2021.
Komen