Lebih banyak sekatan dilonggarkan di Lembah Klang, kata PM


Noel Achariam

Banyak aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi apabila Lembah Klang beralih ke Fasa 2 PPN pada Jumaat ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 September, 2021.

SELANGOR, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju agar ketiga-tiga negeri itu beralih ke Fasa 2 mulai 10 September.

“Jawatankuasa itu juga memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan biasa.

“Oleh itu, pergerakan antara negeri ini dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, hanya Kedah dan Johor yang akan berada di bawah Fasa 1, kerana Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bersama Kuantan, Pahang, Terengganu, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Sabah pada Fasa 2.

Bagi Fasa 3, ia melibatkan Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak sementara Labuan beralih ke Fasa 4 kategori terakhir di bawah PPN.

Di bawah Fasa 2, rentas daerah dibenarkan untuk individu yang diberi vaksinasi lengkap dibenarkan membawa anak berusia 17 tahun ke bawah dengan pematuhan SOP.

Perniagaan lain yang dibenarkan beroperasi adalah:

1. Pengendali restoran termasuk hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, trak makanan, penjaja tepi jalan, penjaja jalanan, medan selera, pusat penjaja, gerai makanan di tepi jalan atau kios dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

2. Kedai runcit, farmasi, kedai penjagaan diri, kedai serbaneka dan pasar raya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

3. Perkhidmatan kesihatan seperti hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen operasi mereka.

4. Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya tol yang boleh beroperasi sehingga 24 jam.

5. Pasar raya, pasar raya besar dan pusat beli-belah dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

6. Kedai buku dan alat tulis, kedai komputer dan telekomunikasi serta kedai barang elektrik dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

7. Kedai gunting rambut (perkhidmatan tukang gunting asas sahaja) dan salun kecantikan (hanya perkhidmatan asas) dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Pasar malam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dengan memastikan pelanggan diberi vaksin lengkap.

Pergerakan individu yang mendapat vaksinasi lengkap dibenarkan berdasarkan kapasiti kenderaan mereka.

Aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan

Sementara itu, Ismail Sabri berkata jawatankuasa itu juga bersetuju melonggarkan SOP untuk aktiviti sukan, riadah dan rekreasi, bagi negeri di bawah Fasa 1.

Antara perkara yang diputuskan adalah:

1. Aktiviti sukan dalam ruang tertutup dibenarkan, kecuali gimnasium, bagi individu yang lengkap dua dos vaksin.

2. Kemudahan sukan dan rekreasi komersial tertutup dibenarkan beroperasi berdasarkan peraturan, hanya untuk pelanggan yang sudah divaksinasi sepenuhnya.

3. Penggunaan kemudahan mesti dilakukan melalui janji temu selain mematuhi SOP.

Beliau juga berkata negeri yang berada di bawah Fasa 2 dan 3, fleksibiliti tambahan untuk aktiviti tukang gunting rambut, pendandan rambut, dan salon kecantikan dibenarkan. – 8 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen