SEBANYAK 6,919 daripada 19,733 kes Covid-19 baharu yang dikesan hari ini melibatkan mereka yang sudah lengkap divaksin, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan berkata daripada jumlah kes yang telah divaksin, seramai 98 pesakit berada dalam Kategori 3 (radang paru-paru dan memerlukan rawatan di hospital), Kategori 4 (radang paru-paru dan perlukan oksigen) dan Kategori 5 (kritikal dan perlukan ventilator).
Dr Noor Hisham berkata, jumlah selebihnya iaitu 6,821 berada dalam Kategori 1 (tidak bergejala) dan Kategori 2 (bergejala ringan).
Sementara itu, sebahagian besar kes hari ini masih melibatkan mereka yang belum divaksinasi dan mereka yang cuma mendapat satu dos vaksin.
Dalam kalangan pesakit yang belum divaksinasi, sebanyak 8,203 berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala seramai 224 pesakit lagi berada dalam Kategori 3 hingga 5.
Bagi mereka yang telah mendapat satu dos vaksin, 4,280 kes dilaporkan berada dalam Kategori 1 dan 2, sementara 107 kes dalam Kategori 3 hingga 5.
Tambah Dr Noor Hisham, secara keseluruhan, 19,304 kes atau 97.8% kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala 429 kes atau 2.2% berada dalam Kategori 3 hingga 5.
Dalam data dikongsi kementerian kesihatan, ia berkata daripada jumlah kumulatif 1,900,467 kes di negara ini, sebanyak 1,449,632 atau 76.3% melibatkan mereka yang belum divaksin, manakala 284,456 atau 15% melibatkan mereka yang hanya divaksin satu dos, dan 166,379 lagi atau 8.7% adalah mereka yang telah lengkap imunisasi.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan sebanyak 326,476 dos vaksin Covid-19 telah diberikan setakat semalam, di mana 16,299,881 orang telah divaksinasi. Sehingga kini, 20,814,413 orang, atau 88.9% daripada penduduk dewasa telah menerima suntikan pertama.
JKJAV berkata, seramai 134,307 orang telah menerima dos pertama, manakala 192,169 telah menerima dua dos.
Sekurang-kurangnya 97.8% penduduk dewasa di Lembah Klang kini telah divaksin, mengatasi Labuan. – 8 September, 2021.
Komen