JUMLAH maut akibat Covid-19 hari ini melepasi angka 19,000 selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 361 kematian, ketiga tertinggi sejak pandemik bermula.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kini negara mencatat jumlah kematian sebanyak 19,163.
Hari ini adalah hari ke-45 berturut-turut negara mencatat jumlah kematian harian tiga digit, katanya.
Jumlah kematian meningkat walaupun jumlah kes aktif menurun kepada 248,673, tambah Dr Noor Hisham.
Hari ini juga hari kelapan berturut-turut kes sembuh mengatasi kes baharu, apabila negara melaporkan 22,701 kes sembuh berbanding 19,733 jangkitan baharu.
Kes aktif paling tinggi pada 28 Ogos lalu dengan 268,548 pesakit dirawat kerana Covid-19.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat penurunan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selain kurangnya pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Terdapat 904 pesakit di ICU hari ini berbanding 977 semalam termasuk 430 memerlukan oksigen hari ini berbanding 447 pada semalam.

Dr Noor Hisham berkata, 301 kematian hari ini melibatkan warga tempatan, selebihnya 60 warganegara asing.
Sebanyak 67 kematian dilaporkan di Selangor, diikuti Johor sebanyak 65, Sabah (54), Kedah (51), Kuala Lumpur (34), Negri Sembilan (29), Kelantan (17), Sarawak (10), Terengganu (9 ), Melaka (lapan), Perak (enam), Pulau Pinang (lima), Pahang (empat) dan Perlis (dua).
Tambah Dr Noor Hisham, 102 daripada kematian tersebut dinyatakan sebagai maut sebelum tiba di hospital (BID)
Terdapat 26 kes BID dilaporkan di Sabah, 18 di Johor, 17 di Selangor, 16 di Kuala Lumpur, 11 di Kedah, enam di Kelantan, empat di Pulau Pinang, dan masing-masing dua di Sarawak dan Melaka.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 35 kluster Covid-19 dikesan hari ini dengan 20 berkait tempat kerja, 11 kluster komuniti, masing-masing dua kluster berisiko tinggi dan institusi pendidikan.
Kelantan melaporkan lapan kluster, semuanya berkait dengan jangkitan komuniti.
Negeri-negeri lain yang melaporkan kluster ialah Selangor (tujuh), Johor (lima), Pulau Pinang (empat), Perak (tiga), Sarawak, Kedah dan Pahang (masing-masing dua), Negeri Sembilan dan Melaka (masing-masing satu).
35 jumlah kluster dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster Malaysia kepada 4,995, di mana 3,563 telah tamat manakala 1,459 masih aktif. – 8 September, 2021.
Komen