PUTRAJAYA perlu menjelaskan kepada semua pihak siapa yang bertanggungjawab memimpin negara ini daripada wabak Covid-19 kerana keputusan nampaknya dibuat oleh pelbagai pihak, kata pakar polisi kesihatan.
Dr Khor Swee Kheng berkata kerajaan perlu memberi penjelasan ini semasa sidang Parlimen akan datang.
“Mereka perlu menjelaskan siapa yang bertanggung jawab.
“Sama ada Majlis Keselamatan Nasional (MKN), Majlis Pemulihan Nasional, Kementerian Kesihatan, menteri kesihatan atau ketua pengarah kesihatan,” katanya kepada forum dalam talian yang dihoskan oleh badan pemantau reformasi pilihan raya Bersih 2.0, hari ini.
Pada masa ini, MKN berperanan mengeluarkan prosedur operasi standard Covid-19 sementara pelan pemulihan negara menetapkan langkah pemulihan ekonomi.
Vaksinasi, yang dulunya berada di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, kini berada di bawah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khor, pakar polisi kesihatan bebas, berkata Putrajaya juga perlu menjelaskan kepada orang ramai maksud keendemikan Covid-19, dan menetapkan parameter yang boleh diterima untuk menguruskannya.
“Keendemikan bermaksud kita perlu menerima jumlah kes dan kematian setiap hari boleh diterima. Kerajaan perlu mengetahui berapa jumlah yang boleh diterima ini.
“(Dengan keendemikan) kita tidak akan mempunyai kes sifar. Oleh itu, kita perlu menentukan apa yang dapat diterima oleh masyarakat,” katanya.
Khairy berkata minggu lalu Covid-19 akan menjadi endemik bermula akhir Oktober.
Fasa endemik akan bermula sebaik sahaja 80% populasi dewasa di negara ini diberi vaksin lengkap. Sehingga kini, 69.6% populasi dewasa sudah menerima kedua-dua dos vaksin.
Pada fasa endemik, lebih banyak sektor akan dibenarkan dibuka semula dan norma baharu atau SOP akan ditingkatkan, kata Khairy.
Pemakaian pelitup muka akan diteruskan, tambahnya.
Khor juga menggesa satu suruhanjaya reformasi kesihatan yang dijalankan secara bebas daripada kerajaan.
“Covid-19 mendedahkan kegagalan sistemik selama beberapa dekad dalam sistem penjagaan kesihatan. Kerajaan perlu mewujudkan suruhanjaya pembaharuan kesihatan yang boleh beroperasi di beberapa menteri dan pelbagai pentadbiran.”
Oleh kerana pembaharuan memerlukan waktu yang lama, Khor berkata suruhanjaya tersebut perlu dibentuk selama 10 tahun untuk melaksanakan perubahan institusi sistem penjagaan kesihatan.
Beliau juga mengingatkan Putrajaya kesihatan adalah hal politik tetapi ia tidak boleh dipolitikkan.
“Kesihatan tidak boleh dijadikan senjata untuk mengikis demokrasi sebagai alasan untuk membatalkan Parlimen dan mengeluarkan arahan dari atas ke bawah untuk menimbulkan rasa takut kepada rakyat.” – 8 September, 2021.
Komen