Hanya dengan sokongan bipartisan PM bebas buat keputusan, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Ismail Sabri Yaakob mesti membuka pintu kepada kerjasama dengan parti pembangkang untuk menstabilkan kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob akan dikawal gabungannya sendiri dan parti pembangkang dalam membuat keputusan dasar tanpa sokongan bipartisan, kata pakar hari ini.

Mereka berkata Ismail Sabri, yang bertahan dengan majoriti empat undi perlu membuka pintu untuk bekerja dengan parti pembangkang bagi menstabilkan kerajaan.

Jika tidak, mungkin ada perjanjian belakang yang akan membawa kepada perubahan kerajaan untuk keempat kalinya, mereka memberi amaran.

“Jika Ismail Sabri meneruskan dengan undi percaya, ia akan memberi beliau ruang dan kebebasan untuk menjalankan urusan kerajaan tanpa ancaman akan kalah undi percaya pada bila-bila masa,” kata pakar perlembagaan Maha Balakrishnan pada forum dalam talian yang dihoskan oleh pemantau reformasi pilihan raya Bersih 2.0 .

“Jika tidak, pembangkang dan penyokong parti akan menentang dan Ismail Sabri akan dikawal bagi setiap rang undang-undang dan undi,” katanya.

Raja Ahmad Iskandar, pengarah komunikasi Research For Social Advancement Berhad, berkata memandangkan Ismail Sabri menghadapi banyak puak menentangnya, beliau perlu kreatif dalam berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Beliau mempuyai banyak puak yang menyokong atau menentangnya, beliau perlu menguruskan pihak kepentingan yang berbeza dengan cara berbeza untuk meluluskan agenda perundangannya.

“Sokongan bipartisan akan membantunya dengan pengurusan politik, kebimbangan dan ancaman yang berpunca daripada gabungannya sendiri. Kekacauan daripada kerajaan itu sendiri memberi beliau peluang bekerja dengan blok lain,” katanya.

Justeru, Raja Ahmad mengesyorkan agar Ismail Sabri menerima tujuh tawaran dikemukakan oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ketika majoritinya dipersoalkan, Muhyiddin mengusulkan pengenalan rang undang-undang untuk mengehadkan penggal perdana menteri dan bagi menghentikan ahli Parlimen lompat parti dengan harapan mendapat sokongan daripada pembangkang.

Pembaharuan lain yang diusulkannya adalah memastikan keseimbangan dalam komposisi jawatankuasa pemilih Parlimen antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi memastikan keseimbangan, dan separuh daripada semua jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh anggota pembangkang.

Beliau juga menjanjikan pindaan terhadap undang-undang relevan yang diperlukan untuk memudahkan Undi18, atau penurunan usia mengundi dari 21 kepada 18 tahun. – 8 September, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen