Petugas kesihatan perlu diberi suntikan penggalak, kata kumpulan perubatan


Pakar perubatan mahu petugas kesihatan barisan hadapan diberikan dos ketiga vaksin Covid-19 berikutan golongan berkenaan lebih mudah terdedah dengan jangkitan wabak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2021.

SUDAH tba masanya Putrajaya mempertimbangkan untuk petugas kesihatan barisan hadapan menerima dos vaksin Covid-19 ketiga kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan koronavirus berbandig profesion lain, kata tiga kumpulan pengamal perubatan.

Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia (MPCAM) berkata bahawa walaupun ramai lagi yang masih belum menerima satu dos vaksin, petugas barisan hadapan ini sangat memerlukan perlindungan kerana tugasan mereka.

“Sebilangan besar petugas kesihatan barisan hadapan di Malaysia mula divaksin pada Februari 2021. Oleh itu mereka kini sudah divaksin lebih enam bulan, ketika kadar antibodi dijangka akan berkurang.

“Dengan ancaman tambahan varian Delta yang lebih mudah berjangkit, kami mewakili organisasi yang disebutkan di bawah ini, dengan ini meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk mempertimbangkan dos ketiga dan seterusnya dos penggalak kepada petugas kesihatan kita,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden FPMPAM Dr Steven Chow, Presiden MMA Dr M Subramaniam dan Presiden MPCAM Dr Raj Kumar Maharajah.

Memetik sebuah kajian di Israel yang dimulai pada Disember 2020, ketiga-tiga doktor berkata bahawa perlindungan vaksin terhadap kedua-dua jangkitan dan penyakit menurun dari 90% pada bulan-bulan awal programnya kepada kira-kira 40% pada akhir Jun 2021.”

“Kajian menunjukkan penurunan itu mungkin disebabkan oleh kesan varian Delta,” kata mereka.

Mereka juga menyatakan, Indonesia sudah memberikan dos vaksin ketiga kepada kakitangan kesihatan berikutan kematian ratusan petugas barisan hadapan dalam dua bulan terakhir.

“Ramai daripada mereka sudah divaksin tetapi maut akibat varian Delta yang lebih mudah menular,” katanya. – 8 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen