KERAJAAN negeri Selangor dilihat hanya mendengar “arahan” daripada pemaju dan bukan mendengar suara rakyat yang mengundi mereka, kata kumpulan perlindungan alam sekitar hari ini.
“Bukan pemaju yang mengundi mereka, tetapi kami selaku rakyat,” kata wakil kumpulan aktivis masyarakat Orang Asli Shaq Koyok ketika menyerahkan memorandum kepada setiausaha kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.
Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) yang terdiri daripada 15 kumpulan, menyerahkan memorandum kepada menteri besar Selangor bagi menghalang penyahwartaan hutan simpan berkenaan.
“Tanpa hutan, Orang Asli di hutan ini tidak dapat mengamalkan tradisi kami,” kata Shaq.
Pada mulanya, polis menghalang kumpulan berkenaan daripada memasuki premis berkenaan namun kemudian membenarkan lima wakil untuk masuk.
Jurucakap PHSKLU Suresh Kumar berkata apabila rakyat mengundi kerajaan Pakatan Haroan di Selangor, mereka mengharapkan kerajaan yang lebih progresif tidak sama seperti kerajaan Barisan Nasional.
“Kami tidak berpuas hati dengan cara mereka melayan kami kerana mereka langsung tidak benarkan kami untuk masuk sedangkan kami sudah maklumkan semalam yang kami akan datang hari ini.
“Memorandum itu diterima di luar pagar bangunan oleh ketua setiausaha,” katanya.
Tambahnya, penyerahan memorandum adalah proses demokrasi dan ia tidak diamalkan sepenuhnya di bangunan setiausaha kerajaan negeri hari ini.
Menurutnya, beliau tidak mahu menteri besar menteri besar mengatakan penyahwartaan itu akan ditangguhkan sebaliknya ia perlu dihentikan.
Kerajaan negeri Selangor menyahwartakan lebih separuh daripada 900 hektar tanah hutan simpan pada Mei namun hanya mendedahkan perkara itu pada sidang Dewan Undangan Negeri 30 Ogos lalu.
Berita itu mengejutkan kumpulan alam sekitar dan Adun PH di negeri itu kerana sidang DUN sebulat suara mengundi untuk tidak nyah wartakan hutan simpan berkenaan November lalu.
Penyahwartaan itu ditangguhkan sementara ia disemak semula, susulan tekanan daripada masyarakat umum dan PKR terhadap Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Presiden PKR Anwar Ibrahim menunut penjelasan daripada Amirudin dan meminta perkara itu dibincangkan lebih lanjut oleh exco kerajaan negeri. – 8 September, 2021.
Komen