Lantik Muhyiddin pengerusi MPN satu kesilapan, kata Guan Eng


Adakah Perdana Menteri Ismail Yaakob komited terhadap reformasi institusi, soal Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2021.

PELANTIKAN Muhyiddn Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri menandakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak bersungguh-sungguh untuk membawa negara keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi, kata Lim Guan Eng.

Malah ia mencetus persoalan mengenai komitmen beliau untuk bekerjasama dengan pembangkang berhubung kebebasan badan kehakiman dan reformasi institusi, tambah setiausaha agung DAP dalam kenyataan hari ini.

“Jika Ismail tidak komited dengan MPN, bagaimana beliau mahu yakinkan beliau akan komited untuk laksana reformasi institusi seperti undang-undang anti lompat parti bagi menghalang pembelotan ahli Parlimen yang mengkhianati mandat pilihan raya mereka?

“Jawatan pengerusi MPN tidak boleh dilihat semata-mata untuk meluluskan dasar ekonomi yang telah gagal atau satu bentuk saguhati kepada Muhyiddin selepas dipaksa meletak jawatan perdana menteri pada 16 Ogos,” katanya.

Muhyiddin meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti ahli Parlimen. 

Pelantikan presiden Bersatu itu sebagai pengerusi MPN diumum Sabtu lalu oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Pada 25 Ogos, Lim bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah mengadakan pertemuan di pejabat Ismail Sabri.

Dalam pertemuan lebih sejam itu mereka antara lain mengemukakan program menangani pandemik Covid-19 yang lebih berkesan dan menangani isu golongan miskin dan kehilangan kerja.

Ismail Sabri juga diyakinkan tidak akan ditekan dalam undi percaya selagi perdana menteri itu dapat memastikan keadaan politik stabil dan melaksana dasar membantu rakyat. – 7 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen