MAHKAMAH Vietnam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang lelaki tempatan kerana menyebarkan virus Covid-19.
Le Van Tri didapati bersalah “menyebarkan penyakit berjangkit berbahaya” kepada orang lain selepas melanggar perintah kuarantin 21 hari di wilayah Ca Mau, sebelum kembali semula ke bandar raya Ho Chi Minh, menurut laporan di laman web Mahkamah Rakyat.
Lelaki berusia 28 tahun itu disahkan positif pada 7 Julai lalu.
“Tri melanggar perintah kuarantin sehingga menyebabkan ramai orang dijangkiti Covid-19, manakala seorang meninggal dunia pada 7 Ogos,” kata laporan mahkamah.
Media tempatan melaporkan Tri menyebabkan lapan orang positif.
Selepas berjaya mengawal penularan Covid-19 tahun lalu, kes melonjak semula di Vietnam dengan hampir 540,000 orang dijangkiti dan lebih 13,000 maut akibat virus itu setakat ini.
Vietnam sebelum ini menjadi antara negara paling baik menguruskan pandemik Covid-19 di dunia apabila merekodkan hanya 35 kematian dan kurang 3,000 jangkitan sehingga 1 Mei lalu.
Julai lalu, seorang lelaki berusia 32 tahun di Hai Douong dihukum penjara 18 bulan selepas didapati bersalah menyebarkan jangkitan. Sebelum itu, seorang kakitangan Vietnam Airlines pula dikenakan hukuman penjara 2 tahun pada Mac atas kesalahan sama. – AFP, 7 September, 2021.
Komen