CUBA negara pertama di dunia memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak seawal 2 tahun menggunakan vaksin buatan tempatan, lapor AFP.
Suntikan diberi selepas negara itu selesai menjalankan ujian klinikal vaksin Abdala dan Soberana kepada kanak-kanak di bawah umur.
Pemberian vaksin dimulakan dengan kanak-kanak 12 tahun ke atas Jumaat lalu, manakala bagi mereka yang berusia 2 hingga 11 tahun pula diberi semalam di wilayah Cienfuegos.
Negara dengan 11.2 juta penduduk itu mensasarkan semua kanak-kanak sebelum sekolah mula dibuka semula selepas ditutup sejak Mac tahun lalu.
Sesi pembelajaran di Cuba buat masa ini melalui program di televisyen kerana majoriti keluarga di negara itu tidak mempunyai akses internet.
Kerajaan sebelum ini umum sekolah akan dibuka semula secara berperingkat mulai Oktober, dan hanya selepas semua kanak-kanak disuntik vaksin Covid-19.
Langkah kerajaan Cuba memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak seawal usia 2 tahun bagaimanapun tidak mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beberapa negara seperti China, Emiriah Arab Bersatu dan Venezuela sebelum ini umum untuk menyuntik vaksin kepada kanak-kanak 12 tahun.
Vaksin buatan Cuba, Adbala dan Soberana, yang pertama dibangunkan di Amerika Latin dan berdasarkan teknologi gabungan protein yang sama digunakan vaksin Novavax keluaran Amerika Syarikat dan Sanofi dari Perancis.
Kedua-dua vaksin buatan Cuba tidak menjalani ujian di peringkat antarabangsa. – AFP, 7 September, 2021.
Komen