Rakyat Malaysia di Myanmar guna 'kenalan' dapatkan vaksin Covid-19


Elill Easwaran

Rakyat Malaysia di Myanmar terpaksa guna pelbagai cara untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana negara itu hanya beri suntikan kepada rakyat tempatan. – Gambar EPA, 7 September, 2021.

RAKYAT Malaysia di Myanmar menggunakan cara lain bagi mendapatkan vaksin Covid-19 memandangkan negara itu hanya memberikan suntikan kepada rakyat tempatan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka perlu melalui “connection” bagi mendapatkan suntikan vaksin mereka.

“Sebagai orang luar, susah bagi saya untuk dapatkan vaksin namun saya berjaya dapatkan suntikan pertama saya melalui connection (hubungan),” kata seorang rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Lat.

Namun, beliau tidak mahu memberitahu siapa hubungannya itu dan bagaimana beliau mendapatkan vaksin tersebut.

Lat berkata mereka terpaksa cari kenalan dan hubungan sebab pemberian vaksinasi oleh Kedutaan Malaysia di Myanmar sangat perlahan.

Keadaan juga bertambah buruk kerana Myanmar kini berada di bawah pemerintahan tentera berikutan rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik pada Februari lalu.

Lat berkata Kedutaan Malaysia pada masa ini hanya mengatur vaksin dihantar kepada rakyat Malaysia di Myanmar.

“Sudah agak terlambat. Ramai daripada kita sudah buat pengaturan sendiri lebih awal bagi mendapatkan suntikan vaksin. Boleh mati kalau tunggu,” katanya.

Lat juga mendakwa kedutaan India, Thailand dan Filipina menyelesaikan vaksinasi untuk rakyat mereka di Myanmar.

Surat bertarikh 23 Ogos yang dilihat The Malaysian Insight menyatakan Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar memberitahu Dewan Perniagaan Malaysia-Myanmar (MMBC) mereka akan mendapat 2,000 dos vaksin Sinovac.

Wisma Putra bagaimanapun berkata masih belum ada keputusan dari kerajaan Malaysia mengenai vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia di luar negara.

“Bagi membantu rakyat Malaysia di negara ini, MMBC sedang berusaha dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan vaksinasi Covid-19.

“Proses yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Myanmar meleret-leret,” kata Wisma Putra ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Ram berkata dia mendapat dos pertama pada Julai dan sekarang masih menunggu suntikan keduanya.

“Saya tidak pasti sama ada saya akan dapat dos kedua sebab bergantung sepenuhnya pada ‘connections’ yang saya ada,” katanya.

Situasi Covid-19 di Myanmar membimbangkan di mana negara itu melaporkan lebih 410,000 kes aktif dengan jumlah kumulatif kematian mencecah 15,800. – Gambar EPA, 7 September, 2021.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Saiful berkata beliau mendapat vaksin melalui sektor swasta yang menjual kepadanya.

“Kedutaan kita sepatutnya patut masuk dan tolong rakyat Malaysia di sini bagi mendapatkan vaksin Covid-19 kerana itu satu-satunya cara bagi rakyat Malaysia sejak junta ambil alih,” katanya.

Situasi Covid-19 di Myanmar membimbangkan di mana negara itu melaporkan lebih 410,000 kes aktif dengan jumlah kumulatif kematian mencecah 15,800.

Negara itu mensasarkan 50% penduduk dewasa, atau 17 juta orang, akan menerima vaksin pada akhir tahun ini, namun ada kesulitan dan rintangan untuk mencapai tujuan tersebut.

Pada 6 Ogos, The New Light of Myanmar melaporkan hanya sekitar 1.8 juta orang atau 6.08% daripada penduduk yang disasarkan divaksinasi.

Pengusaha perniagaan menderita

Ahli perniagaan Malaysia di Myanmar juga berkata perniagaan mereka mengalami penurunan lebih 50% di bawah pemerintahan junta.

Lat, yang berada dalam industri makanan dan minuman, berkata dia hampir tidak membuat penjualan sejak junta mengambil alih, selain tidak mampu membayar pekerjanya.

Tambahnya, dia nyaris tidak bertahan dan perlu berhati-hati ketika bergerak memandangkan ancaman bom dan tembakan masih wujud di negara itu.

“Lebih baik saya hadkan pergerakan saya sebab ada kemungkinan ancaman bom di kawasan saya,” katanya.

Saiful, yang merupakan pengurus projek di Yangon, berkata perniagaannya sangat teruk kerana Gerakan Ketidakpatuhan Sivil (CDM) dan juga pandemik.

CDM yang dimulakan oleh aktivis pro-demokrasi termasuk profesional perubatan mengumumkan di media sosial pada Februari lebih 70 hospital dan jabatan perubatan akan berhenti bekerja sebagai protes terhadap apa yang disebut sebagai pemerintahan “tidak sah”.

Sejak rampasan kuasa, CDM telah mendapat sokongan dari pelbagai bidang kerjaya lain, yang dipimpin oleh pekerja perubatan dan kesihatan.

Jurubank, peguam, guru dan jurutera di seluruh negara menuntut tentera mengembalikan kuasa kerajaan yang dipilih, dengan mengugut untuk tidak kembali bekerja.

Ram yang berada dalam industri IT berkata kehidupan menjadi lebih sukar kerana ada banyak sekatan di bawah pemerintahan tentera.

“Perniagaan disambung semula dengan 50% bekerja di pejabat dan 50% dari rumah, tetapi masih teruk,” katanya.

Awal tahun ini, Kedutaan Malaysia berkata lebih 600 rakyat Malaysia berdaftar di Myanmar, kebanyakannya terdiri daripada ahli perniagaan dan profesional yang bekerja dalam pelbagai syarikat.

Kedutaan kini menganggarkan kira-kira 250 rakyat Malaysia sudah pulang ke Malaysia atas beberapa sebab, terutama hal berkaitan ekonomi. – 7 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen