Majlis Pemulihan Negara akan bincang nasib peniaga kecil, kata Muhyiddin


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat pertama MPN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

MESYUARAT Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang terdekat akan membincangkan usaha untuk membantu usahawan dan peniaga kecil yang terjejas akibat penularan Covid-19, kata Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebagai pengerusi MPN, beliau akan memastikan peniaga kecil terus mendapat bantuan dalam setiap perancangan kerajaan memulihkan ekonomi negara kesan daripada pandemik.

“Langkah untuk terus membantu peniaga kecil ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat pertama MPN yang bakal diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam catatan di Facebook.

Muhyiddin menulis catatannya selepas mengunjungi kawasan bebas berniaga di Setapak Jaya, yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Beliau turut memuat naik rakaman video kunjungannya dan ramah mesra bersama peniaga serta pengunjung lain.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan keputusan Jemaah Menteri melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri dan pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin, yang mengetuai MPN semasa jadi perdana menteri, mempengerusikan mesyuarat kedua majlis itu pada 6 Ogos. Beliau letak jawatan perdana menteri pada 16 Ogos selepas sekumpulan ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.

Bekas timbalan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dilantik menggantikannya pada 21 Ogos.

Sejak November 2020, Kementerian Wilayah Persekutuan memberi kebenaran kepada orang ramai membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut Muhyiddin beliau gembira apabila rata-rata peniaga berkata kebenaran berniaga itu meringan kehidupan mereka, sementara hampir semua mereka juga sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

“Keceriaan yang terpamer di wajah peniaga kecil ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara semakin jelas,” tulis Muhyiddin.

Skim Wilayah Bebas Berniaga yang sepatutnya berakhir 31 Julai kini dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Sementara itu, Muhyiddin juga berkata beliau akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan lebih banyak sektor kembali pulih seperti sebelum pandemik.

“Mari kita doakan yang terbaik untuk negara kita yang tercinta dan rakyat Malaysia yang bertungkus lumus berusaha dan bekerja menjana pendapatan di mana sahaja anda berada.

“Moga anda dan kita sentiasa dilindungiNya!” katanya. – 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen