Laporan maut harian bukan gambaran sebenar kematian Covid-19, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihak berkuasa kesihatan perlukan masa untuk sahkan punca kematian, oleh itu jumlah kematian harian rasmi yang dilaporkan bukan gambaran sebenar kematian harian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

JUMLAH maut harian Covid-19 bukan gambaran sebenar angka maut dalam 24 jam terakhir, tetapi adalah jumlah terkumpul, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata jumlah itu kadang kala tertunggak kerana pihak berkuasa kesihatan perlukan masa untuk sahkan punca kematian.

“Satu perkara saya nak cakap hari ini, tetapi saya akan ulas lanjut pada Rabu bila saya dedahkan data baharu untuk Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Jumlah kematian yang kita laporkan setiap hari itu bukanlah jumlah kematian dalam tempoh masa 24 jam yang lepas,” katanya.

“Ada banyak backlog (tunggakan) kematian sebab kita nak kena sahkan yang si mati itu dia betul-betul mati sebab Covid-19 atau tidak.

“Saya ada angka kematian sebenar yang dilaporkan setakat ini,” katanya kepada wartawan di Menara Kinabalu di Sabah hari ini.

Tambahnya angka kematian di Lembah Klang dapat berkurang dalam tempoh dua hingga tiga minggu nanti selepas KKM mengemas kini data tertunggak.

Khairy berkata sebahagian besar kes maut sebelum tiba di hospital melibatkan mereka yang tidak berada di bawah pengawasan KKM atau kemudahan kesihatan.

Katanya sebahagian mereka tidak disaring dan sudah terlambat bagi pihak berkuasa kesihatan untuk campur tangan apabila mereka mengalami gejala.

Justeru beliau menggesa pemimpin masyarakat dan jiran tetangga terus memerhatikan status kesihatan mereka yang sakit.

Setakat ini sejumlah 18,219 orang telah maut akibat Covid-19 di Malaysia.

Pada Januari, Pakar Anestesiologi dan Rawatan Rapi Dr Nurilyani Bujang menjelaskan terdapat dua kategori kematian melibatkan Covid-19, iaitu satu disebabkan jangkitan virus itu sendiri, manakala satu lagi kerana sebab lain. 

Bagi kematian kategori kedua, yang ada kaitan dengan Covid-19 tetapi virus itu bukan penyebab utama, ia tidak akan dimasukkan dalam statistik kematian rasmi. Bagaimanapun, kes masih termasuk dalam pemantauan KKM. 

Oleh itu, Dr Nurilyani berkata ada prosedur bagi menentukan apakah punca kematian kes positif kerana Covid-19.

“Setelah perbincangan dan bersepakat, barulah laporan kematian dihantar ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC). Jadi kadang-kadang proses ini akan mengambil masa.”

Bagaimanapun, jenazah mesti diurus mengikut tatacara positif Covid-19, sama ada kematian disebabkan Covid-19 sendiri atau kematian dengan virus itu, kata Dr Nurilyani. – 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen