Lebih kurang 30 maut serangan hujung minggu di Congo


Foto pada 24 Mei lalu menunjukkan tembok rumah di Nzenga yang dipenuh dengan bekas tembakan peluru. Sejak 2019 kumpulan bersenjata Angkatan Demokratik Bersekutu (ADF) telah meningkatkan serangan dan membunuh lebih 1,200 orang. – Gambar AFP, 6 September, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 30 orang terbunuh dalam serangan pada hujung minggu di kawasan timur laut Republik Demokratik Congo, kata sumber tempatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Kumpulan Angkatan Demokratik Bersekutu (ADF) disyaki melakukan serangan itu di Ituri pada Sabtu, kata mereka.

Dieudonne Malangayi, pemangku ketua Walese Vonkutu, pada awalnya berkata 14 orang meninggal dalam serangan itu tetapi pada Isnin memberitahu AFP banyak lagi mayat ditemui.

“Orang awam yang pergi mencari mayat menemui 16 yang lain di dalam semak, menjadikan 30 orang awam terbunuh,” kata Malangayi.

Sumber PBB mengesahkan sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam serangan itu.

Seorang orang awam yang membantu mencari mayat berkata kebanyakan mangsa diserang dengan parang atau ditembak.

ADF, yang dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat, dikatakan sebagai militan bersenjata paling ganas dari sejumlah kumpulan bersenjata lain yang berkeliaran di timur Congo yang kaya dengan sumber mineral. – AFP, 6 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen