RAVINDRAN Subramanian yang menjadi perhatian baru-baru ini atas dakwaan menyeksa dan mendera bekas pekerja, berkata beliau menjadi mangsa tuduhan palsu.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) Masala Wheels, sebuah restoran India di Petaling Jaya, berkata beliau “menjadi mangsa” selepas tidak setuju dengan tuntutan wang dibuat penuduh, seorang warga India bernama Velayutham.
Memandangkan namanya kini sudah dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan, Ravindran juga berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Velayutham dan saluran televisyen India kerana memfitnah.
Pada Jun, Ravindran mendapati dirinya berdepan masalah selepas wawancara video Velayutham menjadi tular di media sosial.
Beliau mendedahkan kepada satu saluran penyiaran di India yang dirinya dianiaya, diseksa secara seksual, dieksploitasi di Masala Wheels serta bekerja tanpa bayaran.
Beliau juga mendakwa pasportnya dibakar.
“Apa yang orang lain tidak tahu adalah tuntutan Velayutham kepada saya.
“Beliau memeras ugut saya, menuntut INR200,000. Saya merakam semua perbualan itu,” kata Ravindran kepada The Malaysian Insight dalam wawancara eksklusif.
Berikutan pendedahan itu, pasukan petugas pelbagai agensi menyerbu restoran terletak di Seksyen 1, Petaling Jaya, dan menyiasat beberapa individu, termasuk Ravindran mengenai perkara tersebut.
Siasatan kini sudah selesai dan sejak itu kes tersebut diklasifikasikan sebagai tidak memerlukan tindakan lanjut.
Menjelaskan isu ini, Ravindran berkata semua tuduhan dibuat terhadapnya benar dan Velayutham membuat cerita dengan niat untuk meraih keuntungan kewangan.
Ravindran berkata keputusan polis itu membuktikan beliau tidak bersalah, dan menambah beliau juga menyimpan semua rakaman perbualan telefon mereka, yang diserahkan sebagai bukti untuk penyiasatan kes tersebut.
Ravindran berkata beliau mempunyai hubungan baik dengan Velayutham tetapi mendakwa isu timbul apabila pekerja itu disoal mengenai duit yang hilang ketika diaudit. – 6 September, 2021.
Berita penuh di sini
Komen