Filipina tarik sekatan pergerakan ketika virus meningkat


Penduduk beratur untuk vaksinasi di Marikina, pinggir Manila ketika pihak berkuasa mengenakan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan varian Delta. – Gambar AFP, 6 September, 2021.

FILIPINA akan menarik perintah duduk di rumah di Manila minggu ini dalam usaha untuk kekang jangkitan koronavirus dan menghidupkan semula ekonomi.

Lebih 13 juta penduduk di sekitar pusat ekonomi negara itu telah dikenakan sekatan pergerakan sejak 6 Ogos di tengah-tengah peningkatan jangkitan akibat varian Delta.

Langkah untuk mengendurkan sekatan mulai Rabu dibuat setelah kes harian di seluruh negara melebihi 20,000 sejak tiga hari terakhir ini, dua kali ganda jumlahnya berbanding sekatan pergerakan sebelum ini.

“Penutupan bersasar akan dibuat di Metro Manila,” kata jurucakap presiden Harry Roque, menjelaskan kawasan bersasar akan dikenakan di kawasan perumahan, bangunan atau jalan raya.

“Secara harfiahnya ia akan menjadi sekatan pergerakan lengkap jika kawasan anda dikenakan sekatan pergerakan, malah makanan akan dihantar kepada anda.”

Tidak ada perincian lanjut mengenai bagaimana tindakan bersasar itu akan dilaksanakan.

Sekatan pergerakan yang lebih ringan di wilayah ibu kota, yang merangkumi sekitar sepertiga ekonomi negara, akan membolehkan banyak perniagaan yang terkesan teruk untuk buka kembali selain membuka kembali sektor pelancongan.

Berdasarkan garis panduan sebelum ini, restoran akan dibenarkan untuk menerima makan di tempat dan salun kecantikan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti yang lebih rendah. – AFP, 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen