RESET Malaysia, sebuah badan dengan 116 kumpulan di bawahnya, hari ini menolak pelantikan Muhyiddin Yassin untuk mengetuai Majlis Pemulihan Nasional (MPN), dengan berkata beliau sudah terbukti gagal.
Mereka sebaliknya mahu Dr Mahathir Mohamad dijadikan ketua MPN supaya majlis itu berkesan dalam mencapai kemajuan.
Bagi menyokong langkahnya, Reset Malaysia pagi ini menyerahkan memorandum kepada Istana Negara, meminta Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan segera dalam pelantikan tersebut, dan penstrukturan semula MPN.
Jurucakap Reset Malaysia Dr Nurul Ashikin Mabahwi kemudian memberitahu wartawan yang bekas perdana menteri Muhyiddin gagal membawa Malaysia keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi sepanjang berkhidmat.
Beliau berkata tiada alasan kuat bagi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melantik Muhyiddin sebagai ketua MPN yang baru.
“Terdapat 116 kumpulan masyarakat sivil bersetuju mencadangkan Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin MPN,” katanya.
Beliau berkata mereka kecewa dengan kerajaan berhubung pelantikan tersebut kerana ini menunjukkan kerajaan lebih fokus untuk terus berkuasa dan bukannya memberi tumpuan kepada rakyat.
“Ini terbukti kerana mereka memilih seseorang yang gagal menjadi ketua baharu MPN.”
Pengarah Reset Malaysia Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, yang turut hadir pagi ini, berkata tiada garis masa diberi untuk Dr Mahathir dilantik ke majlis tersebut.
“Tetapi kami berharap tindakan segera diambil kerana rakyat mati setiap hari.
“MPN tidak boleh melibatkan politik, sebaliknya harus difokuskan pada nyawa rakyat,” katanya.
Kerajaan melantik Muhyiddin sebagai ketua MPN dengan status menteri pada Sabtu, kurang sebulan selepas beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata Kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya pada 1 September dan Yang di-Pertuan Agong sudah dimaklumkan mengenai pelantikan tersebut.
“Pelantikan itu dibuat berdasarkan kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara dan memulihkan kehidupan rakyat yang sangat terkesan dengan wabak Covid-19,” katanya.
Muhyiddin mewujudkan MPN sebagai usaha untuk membantu kerajaan menangani dan bergerak maju daripada krisis kesihatan Covid-19 serta pemulihan ekonomi.
Muhyiddin mengundurkan diri pada pertengahan Ogos berikutan kehilangan sokongan di Parlimen. – 6 September, 2021.
Komen