Setahun berlalu, Muda masih bergelut dapatkan kelulusan RoS


Raevathi Supramaniam

Muda yang bermula dengan sekumpulan kecil anak muda, kini berjaya mengumpulkan lebih 45,000 ahli di seluruh negara dalam tempoh setahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 89 September, 2021.

SETAHUN selepas parti belia Muda ditubuhkan, pencapaian terbesarnya adalah mengumpulkan sejumlah besar penyokong yang mempercayai visi kumpulan itu untuk Malaysia walaupun tidak didaftarkan sebagai parti politik, kata pengasasnya.

Mereka berkata gerakan itu, yang dimulakan oleh sekumpulan kecil anak muda, kini mengumpulkan lebih 45,000 ahli di seluruh negara dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, hakikatnya Muda sedang bergelut untuk didaftarkan sebagai parti politik, menghalang rancangannya untuk terlibat dengan rakyat di lapangan dan mengambil bahagian dalam reformasi institusi.

Ketua Penerangan Muda, Zaidel Baharuddin berkata dalam tempoh 12 bulan lalu, parti itu berkembang dengan pesat walaupun bermula ketika pandemik.

“Semua ini berlaku dalam masa setahun, di bawah kekangan perintah kawalan pergerakan, parti disekat daripada didaftarkan dan pelbagai bentuk gangguan kepada aktivis dan penganjur kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mutalib Othman, pengasas bersama parti itu pula berkata walaupun tidak dapat mengadakan  jerayawara, parti berjaya membuatkan rakyat Malaysia mengambil berat mengenai isu melibatkan belia.

“Walaupun kami belum berdaftar sebagai parti politik, kami berjaya membuat orang menyedari yang mereka perlu memberi laluan kepada pemimpin muda,” katanya.

“Sebelum ini, kita tidak pernah memberikan lebih banyak perhatian terhadap isu berdasarkan beliau.”

Muda diasaskan oleh bekas menteri belia dan sukan dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada 17 September tahun lalu, ia memohon kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk didaftarkan sebagai parti politik tetapi ditolak pada 6 Januari tahun ini.

Kemudian pada 4 Februari 2021, parti mengajukan rayuan kepada menteri dalam negeri berhubung keputusan RoS  itu.

Susulan itu, pada 26 Mei Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada parti memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan RoS dan KDN.

Pada 18 Ogos, KDN memberitahu Muda rayuannya ditolak. Muda sejak itu melancarkan satu lagi permohonan semakan kehakiman pada 27 Ogos untuk mencabar keputusan menteri dalam negeri dan RoS.

Ketua Penerangan Muda, Zaidel Baharuddin berkata walaupun berdepan pandemik parti terus berkembang pesat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2021.

Tidak didaftarkan sebagai parti politik menjadi satu cabaran terbesar bagi parti kerana ia menghalang penglibatannya dalam proses demokrasi, kata Zaidel dan Muthalib.

“(Ini) tidak sepatutnya berlaku jika jika kita hidup dalam demokrasi sebenar di mana institusi negara tidak banyak dipengaruhi oleh eksekutif. Walaupun begitu, kami sedang meneruskan kes di mahkamah,” kata Zaidel.

Muthalib lebih berharap agar Muda segera didaftarkan sebagai parti politik, terutama dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menerajui kerajaan.

“Jika kerajaan benar-benar ingin bekerja dengan anak muda, maka mereka sepatutnya tidak menyukarkan kita untuk didaftarkan.

“Melihat keputusan mahkamah berkenaan Undi 18, kami berharap ia memberikan dahuluan untuk permohonan kami juga,” katanya, merujuk kepada Mahkamah Tinggi Kuching minggu lalu yang memerintahkan Putrajaya melaksanakan Undi 18 pada akhir tahun ini untuk membolehkan belia mengundi pada pilihan raya akan datang.

Matlamat jangka pendek dan panjang

Pengasas bersama Muda, Dr Thanussha Francis Xavier berkata fokus utama parti sekarang adalah memastikan parti dapat didaftarkan dengan RoS.

“Kami akan terus memperjuangkan agar Muda didaftarkan kerana ini adalah hak perlembagaan kita dan sangat pengecut menteri dalam negeri untuk terus mempermainkan anak muda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

 Pada masa sama, beliau berkata Muda akan terus membantu mereka yang memerlukan menerusi programnya.

Bagi jangka panjang, Thanussha berkata beliau berharap Muda dapat membentuk masa depan Malaysia melalui penglibatan akar umbi dan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“(Kami juga ingin) merombak politik di Malaysia dengan memasukkan lebih banyak wakil wanita dan belia di Parlimen serta menumpukan perhatian kepada keperluan rakyat berbanding retorik perkauman dan agama,” tambahnya.

Sementara itu, Zaidel berkata parti kini fokus untuk mendapatkan sebanyak mungkin ahli tanpa mengira status.

“Jangan biarkan mereka menakutkan anda untuk bergabung dengan kami. Mereka mungkin menggelarkan kami pelbagai nama – jaguh siber atau belum matang – tetapi mereka sangat takut membenarkan kami didaftarkan kerana tahu kami akan dapat mengubah keadaan menjadi lebih baik.” – 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen