KEMENTERIAN Pengangkutan akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan sebelum mengumumkan keputusan mengenai perkhidmatan bas ekpres dan pengoperasian semula institut memandu.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, berkata menerusi sesi dialog yang diadakan secara maya hari ini beliau mendengar beberapa isu berbangkit serta menerima pelbagai cadangan daripada pemain industri.
“Antara yang dibangkitkan adalah pengoperasian semula institut memandu dan isu berkaitan. Begitu juga dengan pengusaha bas ekspres yang masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya ketika ini.
“Semua cadangan membabitkan kedua-dua sektor ini akan dibincangkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Majlis Keselamatan Negara bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang melanda industri susulan pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Antara pemain industri yang menyertai sesi dialog itu wakil daripada Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia dan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia. – Bernama, 5 September, 2021.
Komen