Persatuan Perubatan Malaysia bantah kit ujian kendiri Covid-19 dijual di kedai runcit


Tidak seperti pekerja farmasi dan kemudahan kesihatan, pekerja kedai runcit tidak terlatih untuk memenuhi keperluan perubatan pembeli kit ujian kendiri Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

PERSATUAN Perubatan Malaysia membantah cadangan membenarkan kit ujian kendiri Covid-19 dijual di kedai runcit.

Presidennya Profesor Dr Subramaniam Muniandy berkata alat itu adalah peranti perubatan yang perlu dikawal selia dengan ketat.

“Jika kit ujian kendiri dijual di kedai runcit, mungkin tidak ada pengurusan baik untuk produk ini. Ia juga menyukarkan lagi pihak berkuasa untuk memantau dan menyelianya.

“Mereka yang menjual kit ujian kendiri ini juga perlu dilatih dengan baik bagi membantu pelanggan yang memerlukan lebih banyak maklumat penggunaan kit itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam yang penjualan kit ujian kendiri Covid-19 akan dimudahkan supaya pengguna boleh membelinya di kedai runcit, bukan hanya di farmasi dan kemudahan kesihatan.

“Walaupun matlamatnya adalah menggalakkan pengunaan kit ujian kendiri bagi mengesan Covid-19, kita juga perlu ingat yang ujian kit kendiri melalui saringan ketat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebelum diluluskan untuk kegunaan.

“Sebaik ia tersedia dalam pasaran, penjual bertauliah perlu memastikan penjualan kit ujian kendiri yang bertanggungjawab. Misalnya kit ujian kendiri tidak boleh dijual jika bungkusannya rosak atau dibuka kerana ia mencemarkan kit dan ia tidak boleh lagi digunakan.”

Tambahnya, keputusan menjual kit itu di kedai runcit juga menyebabkan pengkomersialan kit dan isu berkait lain seperti kit palsu, cetak rompak, tercemar malah kit yang dijual semula selepas digunakan.

“Kami menggesa Kementerian Kesihatan untuk mengembalikan semula dasar asalnya yang hanya membenarkan kemudahan kesihatan dan farmasi untuk menjual kit ujian kendiri bagi memastikan penjualan bertanggungjawab peranti perubatan ini,” katanya.

Subramaniam berkata kini terdapat lebih 10,000 buah farmasi dan kemudahan kesihatan di seluruh negara yang boleh memenuhi keperluan komuniti.

Beliau juga mencadangkan kerajaan melakukan perolehan berkelompok kit ujian kendiri bagi mendapatkan penurunan harga maksimum.

Tambahnya, kit itu boleh diedarkan secara percuma untuk kumpulan B40 atau diberi subsidi untuk semua rakyat menerusi program khas. – 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen