Adakah PM tandus idea sampai bergantung kepada Muhyiddin, soal Guan Eng


Tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melantik Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara adalah bukti majlis itu hanya perhiasan semata, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

LIM Guan Eng mempersoalkan keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melantik Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, setiausaha agung DAP itu berkata pelantikan itu menunjukkan Ismail Sabri tidak serius dan komited dalam usaha memulihkan negara.

“Adakah Ismail Sabri begitu cepat ketandusan idea selepas 2 minggu menjadi perdana menteri sehingga dia perlu bergantung pada bekas perdana menteri sebelum ini yang gagal?

“Ismail menghadapi risiko menjadi seorang lagi Muhyiddin 2.0, perdana menteri terburuk dalam sejarah Malaysia yang telah salah urus pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan rekod tertinggi 1,824,439 jangkitan dan 17,883 kematian pada 4 September serta krisis ekonomi terburuk dalam sejarah.,” kata Lim.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata kerajaan bersetuju untuk melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri.

Menurut Zuki, Kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuarat 1 September lalu dan ia sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan (Muhyiddin) untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Lim turut mempersoalkan samada pelantikan Muhyiddin adalah satu bentuk saguhati untuk ahli Parlimen Pagoh itu selepas beliau dipaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Tambah Lim yang juga ahli Parlimen Perai itu, pelantikan Muhyiddin menunjukkan yang MPN hanyalah perhiasan untuk menyembunyikan hakikat yang keputusan sebenar diambil beberapa individu berkuasa dan dibuat di sebalik tabir tanpa mengambil kira pandangan rakyat.

Jelasnya, MPN sepatutnya diterajui oleh Ismail Sabri sendiri selaku perdana menteri.

“Dalam tempoh kurang daripada dua minggu, Ismail telah melantik menteri dan timbalan menteri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muhyiddin dalam 17 bulan dengan jumlah 74 orang, tindakan yang membazirkan dana dan sumber awam yang sepatutnya digunakan dengan lebih baik untuk memberi jawatan tetap kepada doktor kontrak.

“Pelantikan Muhyiddin dengan status menteri dibuat susulan pelantikan 3 ahli Parlimen sebagai duta khas dengan status menteri, walaupun tidak mempunyai sebarang pencapaian atau kelayakan sebelum ini.

“Sekiranya kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza, melantik orang yang gagal adalah lebih teruk apabila mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan baik pada kali pertama.” tegas Lim.

Muhyiddin, perdana menteri kelapan Malaysia, meletak jawatan pertengahan Ogos lalu selepas hilang sokongan di Parlimen.

Presiden Bersatu itu pada mulanya cuba merayu sokongan pembangkang bagi membolehkannya terus berkuasa dengan menawarkan beberapa agenda pembaharuan, cubaan yang gagal dan ditolak blok pembangkang.

Disebabkan itu, beliau tiada pilihan lain selain berundur daripada kepimpinan tertinggi negara dan memberikan sokongan kepada naib presiden Umno Ismail Sabri.

Ismail Sabri mengangkat sumpah selepas menerima sokongan 114 ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri Malaysia yang kesembilan. – 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen