Muhyiddin tidak layak pimpin MPN, kata Ramasamy


Muhyiddin Yassin dilantik mempengerusikan MPN pada Rabu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

MUHYIDDIN Yassin tidak layak mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN) berikutan prestasi buruknya dalam menangani wabak Covid-19 sebagai perdana menteri, kata P. Ramasamy hari ini.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata MPN itu sendiri, yang ditubuhkan oleh Muhyiddin ketika menjadi PM juga tidak perlu kerana ia hanya bertujuan sebagai amalan perhubungan awam.

“Oleh kerana tiada keperluan untuk MPN, mengapa melantik Muhyiddin (untuk mempengerusikannya) yang secara harfiah dimalukan?” kata Ramasamy.

“Saya tidak fikir pelantikan Muhyiddin sebagai ketua MPN ada kaitan dengan pemulihan negara daripada wabak yang dahsyat.

“Mengapa ada keperluan untuk membincangkan pemulihan sedangkan pandemik belum diatasi?

“Walaupun ada keperluan bagi rancangan pemulihan awal, Muhyiddin, ditambah dengan prestasinya yang menyedihkan, hampir tidak memenuhi syarat untuk memegang jawatan itu,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan Kabinet pada 1 September melantik Muhyiddin sebagai pengerusi dengan status menteri.

Susulan itu, Muhyiddin berkata tanggungjawab baharu yang diamanahkan kepadanya akan membolehkan beliau meneruskan usaha dan rancangan yang dimulakannya semasa memegang jawatan untuk membantu negara pulih daripada wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Ramasamy berkata pelantikan itu hanya mencerminkan keadaan menyedihkan negara secara keseluruhan, dengan pemimpin masa lalu dan terkini mengagalkan negara dengan teruk kerana tidak dapat mengatasi krisis kesihatan serta tidak mampu menangani isu rasuah dan skandal kewangan.

Beliau berkata ini juga terbukti dalam pelantikan semula oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi “tiga duta khas tidak berguna” ke Timur Tengah, China, dan Asia Timur.

“Rakyat Malaysia bimbang bukan kerana mereka tidak akan menyumbang apa-apa, tetapi wang pembayar cukai disia-siakan,” katanya.

Ismail Sabri menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada 21 Ogos selepas pemimpin itu kehilangan sokongan Umno.

Ismail Sabri mengekalkan sebahagian besar Kabinet Muhyiddin, menukar portfolio sebahagian daripada mereka. – 5 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen