KEPUTUSAN Putrajaya melantik bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara amatlah mengecewakan, kata Saifuddin Nasution Ismail.
“Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar, kerana Muhyiddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.
“Adakah Ismail tidak yakin dengan Menteri-Menterinya?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jawatan baharu yang dipegang ahli Parlimen Pagoh itu juga bertaraf menteri.
Beliau berkata, Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri gagal membebaskan negara dari wabak Covid-19 yang menyebabkan penderitaan rakyat dan ekonomi bertambah buruk.
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu juga mempersoalkan saranan apa yang mungkin disumbangkan Muhyiddin memandangkan dasar yang dilaksanakan ketika menjadi perdana menteri jelas gagal.
“Sejauh manakah Mahiaddin bersedia memberi saranan kepada Ismail Sabri untuk membatalkan atau menambahbaik mana-mana dasar pengurusan pandemik yang digubal semasa Muhyiddin menjadi PM, tetapi tidak berkesan dalam menangani pandemik?
“Adakah bukan akan ada kecenderungan Mantan PM akan cuba mempertahankan legasinya dan bukan menilainya secara objektif?,” soalnya.
Beliau menambah, pelantikan Muhyiddin adalah untuk survival politik Ismail Sabri dengan mengorbankan rakyat.
Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan jawatannya bertaraf menteri.
Pelantikannya dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada Rabu lepas dan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, katanya. – 4 September, 2021.
Komen