PIHAK berkuasa Cuba pada Jumaat melancarkan kempen vaksinasi Covid-19 nasional untuk kanak-kanak berusia antara dua sehingga 18 tahun.
Ia adalah syarat ditetapkan kerajaan komunis negara itu bagi membolehkan sekolah kembali dibuka walaupun lonjakan kes jangkitan masih berlaku.
Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas akan menjadi kelompok pertama menerima satu daripada dua dos vaksin yang dikeluarkan negara itu, Abdala dan Soberana, sebelum diikuti oleh kanak-kanak lebih muda.
Sekolah di Cuba ditutup sejak Mac 2020 dan pelajar mengikuti sesi pembelajaran menerusi siaran televisyen. Walaupun takwim persekolahan sepatutnya bermula Isnin ini, pelajar akan terus belajar secara jarak jauh sehingga semua yang layak menerima vaksin.
Penularan varian Delta yang berlaku di negara dengan 11.2 juta penduduk itu telah membebankan sistem kesihatan awamnya.
Daripada 5,300 kematian yang direkodkan sejak wabak mula meledak, hampir separuh kematian dilaporkan pada Ogos lalu dan satu per tiga daripada kes jangkitan turut berlaku dalam tempoh sama.
Kerajaan berkata ia merancang membuka semula sekolah secara berperingkat pada Oktober selepas semua pelajar disuntik vaksin. – AFP, 4 September, 2021.
Komen