PERNIAGAAN kini mengambil pendekatan pelbagai strategi dalam persekitaran didominasi pandemik Covid-19 bagi memastikan operasi tidak tertangguh, kata pakar industri.
Kebanyakan perniagaan menyedari yang Covid-19 tidak akan berakhir dalam masa terdekat, menyebabkan mereka melaksanakan pelbagai strategi bersesuaian dengan industri mereka.
Walaupun industri mengambil langkah sendiri untuk beradaptasi dengan pandemik, pemimpin industri berkata kerajaan perlu memberikan insentif bagi mereka mengutamakan langkah keselamatan dan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).
Soh Thian Lai, presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata ramai ahli persatuan sudah mengubah cara mereka beroperasi bagi beradaptasi dengan situasi semasa.
“Pendekatan serampang banyak mata termasuklah menggunapakai budaya kerja dari rumah secara kekal atau separa kekal, yang akan berbeza antara satu syarikat ke syarikat lain bergantung kepada industri, operasi dan sumber mereka.
“Perniagaan juga memberi tumpuan kepada automasi dan digitalisasi yang akan membantu aktiviti teras beroperasi secara jarak jauh jika boleh dilakukan,” katanya.
Tindakan ini adalah sebahagian daripada gaya dan kaedah baharu perniagaan bergerak ke hadapan, tambah Soh.
Bagi memandu ekonomi menerusi dan selepas pandemik, Kementerian Kewangan melaksanakan strategi enam serampang bagi memacu pemilihan disamping menyeimbangkan nyawa dan kehidupan rakyat.
Enam serampang itu adalah ketegasan, ketahanan, menjana semula, pemulihan, memperkasa dan menyusun semula. Ia melibatkan pakej rangsangan diumumkan kerajaan berjumlah RM580 bilion.
Setakat ini, kerajaan sudah mengedarkan RM114.6 bilion bagi membantu kesinambungan perniagaan. Dana ini diedarkan, antara lainnya, untuk skim pembiayaan PKS, pinjaman PKS dan subsidi upah.
Sebanyak R11.2 bilion juga diedarkan bagi meningkatkan ketahanan ekonomi. Wang ini digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif termasuklah untuk sektor komoditi, sektor pelancongan, elaun petugas barisan hadapan dan insentif berkaitan Covid-19.
Buat masa ini, kerajaan menganggap negara berada pada tahap penyusunan semula yang akan menyaksikan pelbagai langkah memperkasa rakyat, perniagaan dan ekonomi pada masa jangka panjang dilaksanakan.
Langkah ini akan digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September. – 4 September, 2021.
Komen