Hannah Yeoh mengimbangi antara kerjaya politik dan keluarga


Gan Pei Ling

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh mengakui 'Langkah Kajang' menjadi tempoh paling mencabar sepanjang lima tahun beliau memegang jawatan itu ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussein, 22 Januari, 2018.

Wanita memainkan peranan utama dalam kebanyakan parti politik di Malaysia. Bagaimanapun, tidak ramai yang berjaya sampai ke tahap membuat keputusan dalam parti, dewan undangan negeri atau Parlimen. Siri ini menampilkan ahli politik wanita di Malaysia yang berjaya mengukir nama dalam bidang yang dikuasai golongan lelaki.

HANNAH Yeoh melakar sejarah apabila beliau mengangkat sumpah sebagai speaker wanita pertama di negara ini pada usia 34 tahun pada 22 Jun 2013. Beliau juga melahirkan anak keduanya pada awal tahun itu.

Beberapa bulan kemudian, speaker baru Selangor itu terkapai-kapai tanpa sebarang persediaan ketika PKR melakukan “Langkah Kajang” yang kontroversi untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

“Itu mungkin masa paling mencabar dalam tempoh lima tahun saya menjadi speaker,” kata Yeoh kepada The Malaysian Insight di pejabatnya di Shah Alam.

Bagaimanapun, drama politik yang berlaku tidak mengganggu fokus Yeoh dan mendorongnya terus memperkukuhkan pembaharuan dewan undangan yang dimulakan oleh penyandang sebelum itu, Teng Chang Khim.

Pada 2014, Dewan Undangan Negeri Selangor meminda peraturan tetap mewajibkan ketua pembangkang menjadi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri.

Sejak itu, dewan undangan negeri juga meminda peraturan tetapnya dengan menjadikan mandatori siaran prosidingnya secara langsung, dan memberi peluang kepada ketua pembangkang bercakap pada akhir sidang dengan memperkenalkan “Masa Pembangkang”.

Walaupun BN Selangor tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut, Yeoh berkata ia masih penting baginya untuk meneruskan perubahan demokrasi ini bagi memastikan persidangan DUN Selangor berbeza dengan yang lain.

“Peluang seperti ini tidak datang kepada seorang gadis biasa sebaya saya. Saya mahu menggunakan sepenuhnya masa dan membuktikan seorang wanita boleh cemerlang apabila diberi peluang berbuat demikian.”

Beliau juga memperkenalkan Adun Muda (Program Adun Muda Selangor), yang membolehkan golongan remaja berumur 18 hingga 24 tahun merasai pengalaman berdebat di dewan undangan negeri.

“Pengalaman itu unik kepada mereka. Idea utama adalah untuk menjadikan dewan negeri sebagai tempat yang lebih hidup. Jika kita mahu menggalakkan golongan muda untuk menjadi penggubal undang-undang, kita perlu memulakannya sejak awal.”

Sepanjang tempoh berkhidmat, beliau melahirkan kekesalan kerana gagal meluluskan Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selesa) yang akan menggembalikan kebebasan kewangan badan perundangan itu.

Yeoh, yang memenangi kerusi Subang Jaya sebanyak 13,851 undi dan 28,069 undi pada 2008 dan 2013, berkata berpuas hati dengan menjadi Adun dan tidak mempunyai matlamat untuk menjadi anggota Parlimen.

Kali ini, beliau berkongsi cabaran yang dihadapinya sebagai seorang ahli politik wanita dan pengalaman yang diperolehnya selepas satu dekad dalam bidang politik.

TMI: Adakah anda berdepan cabaran dalam tugas sebagai speaker disebabkan jantina anda?

Yeoh: Syukurlah, tidak. Saya tidak pernah melihatnya sebagai kelemahan. Satu-satunya perkara yang saya tidak suka ialah pakaian speaker. Saya meminta ketinggian songkok direndahkan supaya saya kelihatan seperti seorang wanita. Ia tidak cukup feminin, itulah satu-satunya rungutan saya.

Selain itu, ketika saya menghadiri majlis rasmi dengan suami, mereka tidak tahu bagaimana untuk melayannya. Beliau bersama isteri-isteri exco lain. Ia janggal pada mulanya.

TMI: Bagaimana hubungan antara anda dengan menteri besar?

Yeoh: Saya fikir ia adalah ketegangan yang sihat yang perlu perlu ada dengan setiap ketua eksekutif. Saya akan lebih risau jika speaker berasa terhutang budi kepada ketua eksekutif.

Azmin Ali adalah menteri besar. Beliau sentiasa di dalam dewan. Beliau mencatat nota ketika wakil rakyat berdebat.

Dewan menjadi platform sebenar bagi wakil rakyat untuk membangkitkan isu apabila mereka tahu ketua eksekutif turut hadir mendengarnya.

Saya fikir Selangor dan Pulau Pinang juga telah menghasilkan model yang baik di mana ketua perundangan dan eksekutif datang daripada pelbagai parti.

TMI: Anda menyertai politik pada 2008. Ia hampir 10 tahun. Bolehkah anda berkongsi beberapa perkara penting yang dipelajari?

Yeoh: Saya fikir politik memberi banyak kebaikan kepada jiwa saya. Tahap tekanan saya lebih baik berbanding ketika saya menjadi peguam.

Dulu, saya akan dengan mudah bertasa tertekan dengan e-mel jahat. Sekarang saya telah belajar untuk tidak mengambil peduli mengenainya. Anda tahu anda perlu berurusan dengan pembohongan berniat jahat dan “tentera siber” sepenuh masa yang akan menggunakan kepercayaan anda sebagai senjata untuk menentang anda.

Selepas saya melahirkan anak, berat badan saya naik dan mereka akan sentiasa memilih gambar paling gemuk. Siapa yang mahu gambar begitu kekal di Internet?

(Tetapi) apabila anda berdepan dengan semua cabaran seperti ini setiap hari, anda perlu memaksa diri agar tetap waras. Anda tidak boleh begitu mudah rasa tertekan.

Anda harus sangat berdisiplin dan perlu ingat segala-galanya apabila anda pulang ke rumah. Saya juga seorang ibu dan isteri. Jika saya benarkan semua tekanan ini memberi kesan kepada saya, saya tidak dapat menjalankan tugas sebagai ibu.

Sebagai ibu bekerja, ketika bekerja, saya merasa bersalah kerana tidak bersama anak-anak saya dan ketika bersama anak-anak, saya merasa bersalah kerana tidak bekerja. Saya tidak tahu sama ada wanita bekerja lain mempunyai tekanan seperti ini, tetapi saya mengalaminya.

TMI: Adakah anak-anak atau suami anda merungut?

Yeoh: Anak-anak saya belum cukup dewasa untuk menghalang saya secara fizikal daripada keluar. Tetapi mereka bertanya mengapa saya perlu bekerja pada waktu malam.

Hujung minggu sepatutnya menjadi masa keluarga tetapi sebagai ahli politik, kita dijangka akan bekerja pada hujung minggu.

Suami saya selalu mengatakan kami perlu bersikap adil kepada anak-anak. Mereka tidak pernah ingin menjalani kehidupan yang menjadi tontonan umum. Mencari keseimbangan kerja dengan kehidupan adalah penting.

Saya bukan ibu yang sempurna. Banyak ruang untuk penambahbaikan. Ia masih berterusan.

TMI: Adakah suami anda banyak memberi sokongan?

Yeoh: Saya tidak fikir saya dapat mencari pasangan yang sangat memberi sokongan dengan tugas saya sebagai wakil rakyat dan speaker.

Saya fikir penting bagi wanita dalam politik untuk mempunyai pasangan yang sama-sama berminat dengan politik. Saya boleh berbincang mengenai politik dengan suami saya.

Saya memberitahu ramai wanita belum berkahwin yang ingin menceburkan diri dalam politik agar memastikan pasangan seorang yang memahami anda. Kerja ini sangat mencabar dan memakan masa.

Saya fikir dengan struktur sokongan yang betul – keluarga, pasangan, parti dan gabungan, anda boleh berkembang.

TMI: Adakah ini bermakna anda akan kekal dalam politik?

Yeoh: Saya akan terus selagi saya diperlukan. Saya fikir bahaya bagi mereka yang melihat politik sebagai seruan hidup, bahawa anda boleh bertahan lebih lama sedangkan rakyat tidak memerlukan anda lagi.

Terdapat ramai ahli politik yang merasa berhak, mereka perlu meneruskannya dan negara memerlukan mereka. Saya benar-benar menanti masa ketika saya tidak lagi diperlukan.

Terdapat beberapa ahli politik yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya mereka tidak berada dalam politik. Saya tidak pernah jadi seperti itu. Saya tidak mahu mengubah diri saya hanya untuk mendapatkan kuasa atau menang undi.

Saya mengelilingi diri saya dengan orang yang masih boleh bercakap dengan saya dan memberitahu saya “tidak, ada  lakukan perkara yang salah”. (Ketawa) Saya mempunyai ramai kawan seperti itu. Ia menjadikan anda sentiasa beringat. Ia sangat penting.

Jangan tukar rakan anda ketika anda mempunyai kuasa. – 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen