BADAN penasihat bebas kerajaan Britain mengenai vaksin pada Jumaat berkata ia tidak mengesyorkan pengambilan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun, dengan alasan manfaatnya “terlalu kecil”.
Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI), panel pakar yang menasihati menteri, mempertimbangkan isu ini selepas banyak negara lain mulai memberikan suntikan kepada remaja.
Sebelum ini, ia mengesyorkan pemberian vaksin Covid-19 yang diluluskan kepada semua remaja berusia 16 dan 17 tahun dan hanya kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan yang menjadikan mereka lebih rentan kepada virus.
Susulan nasihat JCVI, empat ketua pegawai perubatan Britain - di England, Scotland, Wales dan Ireland Utara - kini akan memberikan input lebih lanjut menjelang keputusan akhir kerajaan.
Jawatankuasa itu, yang hanya memberi fokus kepada kesan kesihatan, ingin mereka mempertimbangkan “kesan kepada masyarakat yang lebih meluas, termasuk faedah pendidikan” sama ada untuk memberikan vaksin kepada remaja lebih muda.
Dalam cadangannya, JCVI berpendapat manfaat vaksinasi hanya sedikit berbanding potensi bahaya yang diketahui daripada vaksinasi, sementara mengakui terdapat “ketidakpastian” yang besar.
“Margin manfaat, terutamanya berdasarkan perspektif kesihatan, dianggap terlalu kecil untuk menyokong nasihat mengenai program vaksinasi universal terhadap kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun yang sihat pada masa ini,” katanya.
“Oleh kerana data jangka panjang mengenai kemungkinan reaksi buruk bertambah, kepastian yang lebih besar memungkinkan untuk mempertimbangkan semula manfaat dan kerugian.”
Saranan itu berbeza dengan Amerika Syarikat, yang mengumumkan pada Mei bahawa golongan remaja akan diberikan vaksin, dan banyak negara Kesatuan Eropah termasuk Perancis mulai memberi suntikan kepada kumpulan usia itu.
Keempat-empat menteri kesihatan di UK menulis surat kepada ketua pegawai perubatan masing-masing meminta mereka memberikan perspektif lebih meluas mengenai isu tersebut.
“Kami kemudian akan mempertimbangkan nasihat ketua pegawai perubatan, berdasarkan nasihat JCVI, sebelum membuat keputusan tidak lama lagi,” kata Setiausaha Kesihatan England, Sajid Javid dalam satu kenyataan.
Britain memulakan vaksinasi pada Disember tahun lalu dan sudah menyuntik hampir 89% penduduk dewasa dengan dos pertama, sementara lebih 79% lengkap dua dos.
Data terbaru daripada Public Health England dan Cambridge University menunjukkan vaksin menyelamatkan lebih 105,000 nyawa dan mencegah 143,600 kemasukan ke hospital dan 24 juta kes di England, menurut kerajaan. – AFP, 4 September, 2021.
Komen