SERAMAI 5,893 atau 30.4% daripada 19,378 individu positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan penerima dua dos vaksin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada jumlah itu, 44 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 20 orang kritikal dalam kategori 5 dan memerlukan bantuan pernafasan, tambahnya.
Seramai 24 pesakit lengkap dua dos vaksin pula dalam kategori 4, yang mengalami radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen.
Manakala 42 lagi dalam kategori 3, iaitu pesakit Covid-19 dengan radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen, kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan.
Sementara itu pesakit Covid-19 yang lengkap dua dos vaksin paling ramai dalam kategori 2 iaitu bergejala ringan. Kategori 1 iaitu tiada gejala pula seramai 2,835 orang.
Keadaan apabila individu yang dijangkiti virus Covid-19 walaupun sudah divaksin sepenuhnya dikenali sebagai breakthrough infection.
Bagi individu yang disuntik vaksin Pfizer-BioNTech, Astrazeneca dan Sinovac, lengkap dua dos bermaksud selepas 14 hari mendapat dos kedua suntikan vaksin jenis ini.
Bagi vaksin dos tunggal seperti CanSino dan Johnson and Johnson, penerima dianggap sudah divaksin sepenuhnya selepas 28 hari menerima suntikan.
Dr Noor Hisham dalam pada itu berkata bagi pesakit membabitkan individu belum divaksin 4,410 berada dalam kategori 1, kategori 2 (4,273), kategori 3 (77), kategori 4 (46) dan kategori 5 (41).
Bagi pesakit melibatkan individu yang belum lengkap divaksinasi pula, 1,968 dalam kategori 1, kategori 2 (2,588), kategori 3 (38), kategori 4 (18) dan kategori 5 (26). – 3 September, 2021.
Komen