SEBANYAK 463 kawasan di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air sekali lagi ekoran penutupan Loji Rawatan Air(LRA) Sungai Semenyih petang tadi.
Air Selangor menerusi Twitter sebentar tadi memaklumkan LRA itu ditutup pada jam 5.30 petang susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih hari ini.
Henti tugas itu katanya dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).
Gangguan kali ini berlaku sehari selepas bekalan air di 463 kawasan yang terjejas akibat LRA Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau pada Selasa pulih.
Air Selangor berkata pengguna terkesan boleh mendapatkan senarai kawasan terbabit menerusi medium rasminya di Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang hentitugas.airselangor.com.
Semalam, 463 kawasan meliputi wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang terjejas akibat LRA Sungai Semenyih dihenti tugas pada Selasa pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi.
Tahun lalu, empat LRA dikendalikan Air Selangor Sdn Bhd iaitu Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sebanyak enam kali tahun ekoran pencemaran sungai.
Henti tugas keempat-keempat loji tersebut menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada kira-kira 1.2 juta pengguna di sekitar Lembah Klang. – 3 September, 2021.
Komen