Harga siling kit ujian Covid-19 muktamad, kata Khairy 


Ravin Palanisamy

KEPUTUSAN kerajaan untuk menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19 adalah muktamad walaupun pelbagai isu dibangkitkan oleh peniaga dan pembekal, kata Khairy Jamaluddin.

“Saya tahu mengenai kenyataan mereka namun kami kena seimbangkan antara pembekal dan rakyat. 

“Kalau nak bagi sebulan lagi (kepada pembekal) untuk menghabiskan stok, yang terkesan adalah rakyat, mereka (rakyat) perlu membayar harga tinggi untuk sebulan lagi, jadi kita harus buat keputusan yang memihak kepada pengguna,” katanya. 

Semalam Putrajaya mengumumkan harga siling baharu kit ujian kendiri untuk runcit dan borong berkuat kuasa Ahad ini.

Harga borong ditetapkan pada RM16 manakala harga runcit adalah RM19.90. 

Persatuan Farmasi Malaysia membantah langkah itu dan berkata penetapan harga itu terlalu mendadak dan rendah. 

Persatuan itu berkat komuniti farmasi membayar antara RM22 dan RM32 bagi setiap kit kepada pembekal. 

Khairy bagaimanapun berkata mereka telah menetapkan perkara itu dan memihak kepada pengguna. 

“Mereka (pengguna) meminta harga siling ditetapkan segera untuk kit ujian. Keputusan telah dibuat,” katanya.

Beliau juga berkata Kementerian Kesihatan juga akan melihat untuk menetapkan harga kit ujian Covid-19 RTK Antigen dan RT-PCR.

Sementara itu dalam isu berasingan, Khairy berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengenai kewajipan vaksinasi untuk guru. 

Beliau berkata Putrajaya akan melihat sama ada imuniasasi Covid-19 akan diwajibkan untuk guru, serta isu perundangan mengenai perkara itu. 

“Kita perlu bincang dengan Kementerian Pendidikan kerana terdapat implikasi perundangan.”

Pada Rabu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan vaksinasi Covid-19 wajib bagi menyelesaikan isu anti-vaksin. 

Menurutnya beliau hampir untuk mencadangkan mandat bagi mewajibkan vaksinasi kepada kabinet. 

“Buat masa ini kerajaan masih kekal dengan keputusan untuk tidak mewajibkan vaksin. 

“Saya masih belum sampai tahap untuk cadangkan kepada kabinet persekutuan tetapi saya tidak jauh dari itu.”

Semalam, Sultan Selangor Sultan S harafuddin Idris Shah bertitah guru Kafa di Selangor yang enggan divaksin berkemungkinan tidak akan dibenarkan bertugas.

Baginda difahamkan seramai 326 guru Kafa di Selangor masih belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 guru enggan menerima suntikan berkenaan.  

Baginda turut difahamkan terdapat 268 orang guru sekolah kebangsaan (SK) dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Selangor yang enggan divaksin.  

“Ini juga boleh membahayakan pelajar sekolah rendah dan SMK di Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib,” titah baginda. – 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen