330 kematian Covid-19 hari ini, lapor KKM


KKM hari ini melaporkan 330 kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah korban dalam negara meningkat kepada 17,512. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 330 kematian akibat Covid-19, manakala seramai 975 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan angka kematian itu menjadikan jumlah korban jangkitan Covid-19 dalam negara meningkat kepada 17,521.

Angka kematian tertinggi direkodkan pada 26 Ogos lalu iaitu 393 kes.

Angka kematian hari ini paling tinggi di Selangor dengan 148 kes, diikuti Pulau Pinang (38), Johor (37), Sabah (35), Kedah (21), dan Perak (15).

Melaka dan Kelantan masing-masing melaporkan 11 kematian, enam di Sarawak dan Pahang (4) serta masing-masing dua kes di Kuala Lumpur dan Terengganu.

Sementara itu, daripada 975 pesakit Covid-19 yang dirawat di ICU, 463 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan.

Bagi kes pulih pula, sebanyak 22,399 kes direkodkan hari ini, mengatasi 19,378 kes baharu.

Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula mencecah 259,189, tambahnya.

Dr Noor Hisham dalam pada itu berkata KKM mengesan 34 lagi kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Daripada jumlah itu, 20 membabitkan tempat kerja, lapan kluster komuniti, empat melibatkan kumpulan berisiko tinggi serta masing-masing satu berkaitan pusat tahanan dan aktiviti keagamaan.

Setakat ini, sebanyak 4,838 kluster dikesan di seluruh negara dengan 1,476 daripadanya kluster aktif manakala 3,362 diisytiharkan tamat, katanya. – 3 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen