PM mahu keadilan berhubung kematian pengawal keselamatan


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa agar keadilan ditegakkan atas kematian pengawal keselamatan Thava Sagayam di Ipoh, Perak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2021.

KEADILAN perlu ditegakkan berhubung kematian pengawal keselamatan Thava Sagayam, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini. 

Ismail berkata demikian ketika membalas kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, yang berterima kasih kepada perdana menteri kerana meluangkan masa berjumpa dengan keluarga mendiang yang diserang di Ipoh, Perak tahun lalu. 

“Saya sedih dan terkejut dengan kejadian ini. Tidak ada siapa yang melangkau undang-undang. Keadilan mesti, dan akan diteruskan,” kata perdana menteri di Twitter hari ini.

Ismail turut berterima kasih kepada Kula kerana mengambil berat tentang keluarga berkenaan pada masa yang sukar.

Thava Sagayam meninggal dunia pada Jumaat lalu di kediamannya di Ipoh.

Noor Azhar Muhamad didakwa menyerang Thava, 64, dengan meja di sebuah kondominium di Ipoh pada 29 Disember lalu.

Thava dilaporkan diserang selepas enggan membenarkan anak Noor Azhar menggunakan kolam mandi yang ditutup ketika itu.

Thava dirawat di hospital selepas serangan itu dan menjalani lapan pembedahan di bahagian kepala.

Hasil bedah siasat mendapati mendiang meninggal dunia kerana jangkitan kuman dalam paru-paru, namun keluarganya bertegas kesihatannay semakin merosot akibat serangan itu.

Noor Azhar sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 355 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh.

Noor Azhar kini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret Ipoh, 9 September ini.

Polis hari ini berkata Noor Azhar tidak boleh ditahan semula namun akan mengemukakan pertuduhan lebih berat ketika sebutan kes berkenaan di mahkamah pada 9 September.

Sebelum ini, anak saudara Thava, Nelson Raj Nathan memberitahu The Malaysian Insight bahawa keluarga mereka akan mencari keadilan atas kematian bapa saudaranya dan pampasan untuk balunya. – 3 September, 2021.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen