KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memperluaskan pemberian vaksin secara ‘walk in’ atau jumpa terus mengikut kategori individu di beberapa negeri bagi mempercepatkan kadar vaksinasi, kata menterinya Dr Adham Baba.
Inisiatif di negeri-negeri terbabit akan dikemas kini dari semasa ke semasa, tambahnya.
“Orang ramai boleh membuat semakan di Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing untuk maklumat lanjut,” kata Adham dalam kenyataan, menambah pemberian vaksin secara walk-in di beberapa negeri sudahpun bermula hari ini.
Negeri terbabit adalah:
1. Sabah: Walk-in dibenarkan untuk individu 18 tahun ke atas.
2. Terengganu: Walk-in dibenarkan di semua PPV Awam dan Integrasi untuk individu 18 tahun ke atas dan pemastautin di Terengganu bermula 5 September.
3. Kelantan: Walk-in dibenarkan untuk individu 40 tahun ke atas, individu dengan komorbiditi, ibu mengandung dan ibu menyusu melalui pra-tempahan di 09-7743099 dan 09-7742099.
- Pasir Puteh dan Jeli: Dibenarkan di PPV Awam bagi warga emas dan OKU.
- Tumpat: Dibenarkan bagi warga emas, individu dengan komorbiditi dan ibu mengandung.
- Walk-in bagi individu 18 tahun ke atas telah bermula di PPV Guchil, PPV Manik Urai dan Dabong, Klinik Kesihatan Pahi, Dewan UITM Machang serta Dewan Perpaduan Machang.
4. Pahang: Walk-in bersasar kepada warganegara di empat buah daerah:
- Bera: Bermula 4 September 2021.
- Bentong, Lipis dan Cameron Highlands: Bermula 6 September.
5. Perak: Walk-in dibenarkan di semua PPV Awam untuk individu berumur 50 tahun ke atas atau OKU. Vaksinasi untuk individu dengan komorbiditi (termasuk obesiti) dan ibu mengandung memerlukan tempahan awal.
6. Perlis: Walk-in dibenarkan di PPV Kubang Gajah, Kangar sejak 1 September dengan waktu operasi bermula Isnin hingga Jumaat (8.30 pagi – 3.00 petang) untuk semua kategori warganegara dan bukan warganegara.
7. Johor: Walk-in dibenarkan di PPV terpilih bergantung kepada daerah masing-masing.
8. Sarawak: Walk-in untuk Sarawak perlu merujuk kepada maklumat terkini dari PPV yang berdekatan. Walk-in bagi pemberian Dos 1 akan berakhir pada 6 September.
9. Kedah: Walk-in dibenarkan untuk individu 40 tahun ke atas di daerah Kuala Muda, Yan, Padang Terap dan Bandar Baharu. Walk-in untuk 18 tahun ke atas bagi warganegara dibenarkan di Kota Setar dan Langkawi, sementara bukan warganegara juga dibenarkan di Langkawi.
10. Pulau Pinang: Walk-in dibenarkan bagi warga emas (60 tahun ke atas).
11. Melaka: Walk-in dibenarkan untuk individu 50 tahun ke atas atau OKU di PPV Awam. Walk-in untuk warganegara 18 tahun ke atas bermula 3 September 2021 di PPV Mega (PPV Stadium Hang Jebat dan Stadium Jasin).
Adham juga berkata kerajaan akan terus memperhebat dan memperluas inisiatif vaksinasi secara pandu lalu dan walk-in.
“Negeri-negeri adalah disaran untuk membuka lebih banyak PPV (pusat pemberian vaksin) pandu lalu sekiranya masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti,” katanya, dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan secara bersama dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin
Tambahnya, sebanyak 17 organisasi diberi kebenaran melaksanakan PPV bergerak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Vaksinasi secara walk-in dibenarkan di beberapa PPV di Lembah Klang bulan lepas.
Beliau selain itu menggesa supaya perhatian khusus diberi kepada Sabah, Kelantan, Kedah, Johor, Perak, Terengganu dan
Pahang yang mempunyai kadar vaksinasi kurang daripada 55%.
CITF katanya akan memberi penekanan kepada peningkatan jumlah program jangkauan (outreach programme) di negeri-negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia untuk memastikan vaksin Covid-19 dapat disuntik kepada penduduk di pedalaman.
“Saya telah menyarankan agar sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah keseluruhan vaksin yang diagihkan ke negeri-negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri diperuntukan kepada Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).
“Ini selari dengan perbincangan di sidang Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini untuk memperhebatkan lagi usaha pemvaksinan pekerja warga negara atau bukan warga negara sama ada di PPVIN statik atau secara jangkauan luar,” katanya.
Katanya lagi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga setuju untuk mempercepatkan vaksinasi di negeri-negeri di pantai timur dan Johor bagi mengelakkan sebarang masalah semasa musim tengkujuh.
Adham seterusnya menyarankan Sabah supaya mengutamakan pemberian vaksinasi kepada warganegara dan pihak industri. – 3 September, 2021.
Komen