KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 19,378 kes baharu Covid-19, berbanding 20,988 yang direkodkan semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata jumlah keseluruhan kes kini mencecah 1,805,382 sejak jangkitan dikesan dalam negara pada Januari tahun lalu.
Selangor masih kekal mendahului dengan 3,613 kes, diikuti Sabah (2,404), Johor (2,331) dan Sarawak (2,464).
Hanya Labuan mencatat satu digit jangkitan baharu dengan empat kes, katanya dalam kenyataan hari ini.
Kadar vaksinasi Labuan juga tertinggi dengan 63,663 atau 92.9% populasi dewasa sudah menerima dua dos vaksin Covid-19.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi makluman di Twitter hari ini berkata secara keseluruhannya lebih 35 juta dos vaksin telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sejak 24 Februari lalu.
Berdasarkan statistik terkini yang dikongsikan JKJAV 20,115,233 juta atau 85.9% populasi dewasa menerima dos pertama, manakala 15,429300 atau 65.9% lengkap dua dos. – 3 September, 2021.

Komen